Kerajaan jimat RM10 bilion jika bendung ketirisan – PM

Kerajaan percaya boleh menjimatkan sekurang-kurangnya RM10 bilion wang rakyat sekiranya kebocoran dalam sistem perolehan dapat dibendung.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah mengesan banyak kebocoran yang berlaku dalam sistem perolehan negara membabitkan amaun sekitar RM3 bilion hingga RM4 bilion.

Ketirisan itu, katanya ‘bocor’ kepada parti atau tokoh politik.

“Kita mengalami kebocoran yang tinggi. Dalam hampir 2 bulan saya di Kementerian Kewangan, saya telah kenalpasti RM3 hingga RM4 bilion ringgit yang boleh diselamatkan, bocor kepada parti atau tokoh politik.

“Kita boleh jimatkan sehingga mencecah RM10 bilion dari kebocoran yang terus berlaku dalam sistem perolehan ini,” katanya ketika ucaptama dalam Majlis Dialog Belanjawan 2023 di Bangunan Kementerian Kewangan hari ini.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan sendiri telah memulakan penjimatan awal apabila retreat Jemaah Menteri baru-baru ini hanya diadakan di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana.

Dalam mesyuarat berkenaan, jemaah menteri telah menyuarakan satu permasalahan penting apabila usul untuk memperkenalkan ‘organic farm’ di Kuala Lumpur oleh sebuah syarikat besar, dibiarkan selama 2 tahun tanpa apa-apa kelulusan.

Atas sebab itu, beliau menegaskan agar sikap melengah-lengahkan projek baik seperti ini perlu dihentikan serta merta dan menggesa pihak kementerian meluluskan projek sesegera mungkin jika ia memberi manfaat kepada negara.

“Berkenaan usul untuk memperkenalkan organic farm di KL oleh satu syarikat besar, saya terkejut kita ambil masa 2 tahun untuk luluskannya padahal ekonomi hijau merupakan 5 tunjang untuk mengekalkan ekonomi tapi kenapa ambil masa 2 tahun untuk luluskan?

“Saya katakan this nonsense must stop. Maknanya keupayaan kita beri kelulusan harus lebih pantas, ketua-ketua jabatan akan dipertanggugjwabkan penuh jika melewatkan dan tindakan akan diambil. Kerana ini akan menjejaskan ekonomi negara.

BACA JUGA PM Anwar jemput sembang di KL, kata Dr Maza