Pentadbiran Anwar tidak berhajat bina menara tinggi

Pentadbiran Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berhajat untuk bersaing membina menara-menara tinggi seperti Menara Berkembar Kuala Lumpur dan menara Tun Razak Exchange (TRX).

Kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau akan lebih menumpukan usaha menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota contoh dari segi kebersihan keindahan dan ruang kepada penjaja untuk berniaga.

“Saya kata cukuplah mercu tanda, Twin Tower, TRX, menara, saya tak akan ikut bersaing.

“…bahawa pentabiran Anwar, saya tak berhajat untuk buat satu lagi (menara), di zaman Anwar ini tak ada (bangunan tinggi).

“Saya fikir yang perlu adalah menjana kota contoh dari segi kebersihan, keindahan dan ruang kepada peniaga.

“…kota KL perlu memberi tumpuan kepada golongan penjaja dan warung-warung yang mencecah ratusan pekerja tapi tak diberi tumpuan kerana gerai dan warung itu (dianggap) jelek,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Dialog Belanjawan 2023, ‘Membangun Malaysia Madani’, di Bangunan Kementerian Kewangan hari ini.

Pada masa sama, Anwar berkata beliau akan menumpukan perhatian kepada penjaja-penjaja kecil termasuk Industri Kecil Sederhana (IKS) supaya golongan tersebut tidak diketepikan dalam Belanjawan 2023.

Beliau melihat pendekatan kerajaan sebelum ini tidak banyak memberi tumpuan kepada IKS yang menjadi tunjang ekonomi negara.

Justeru katanya, dalam pembentangan Belanjawan 2023 nanti isu peniaga IKS dan penjaja akan dimasukkan ke dalam perancangan mereka bertujuan mengupayakan golongan ini semaksimum mungkin.

“Dari segi dasar, kerajaan harus lebih tertumpu untuk mengupayakan IKS kerana bidang ini punyai potensi besar dan melibatkan jumlah pekerja besar. Kita akan angkat IKS bersaing dengan syarikat besar.

“Sebab itu saya jadikan budaya setiap Jumaat, saya akan makan di warung-warung. Bila saya lihat sendiri, rupanya peniaga kecil ini memang tidak diberikan perhatian.

“Tetapi saya telah sampaikan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur supaya tumpuan lebih diberikan kepada peniaga kecil di KL,” ujarnya.

BACA JUGA Pusat akan bantu Perlis berdiri sendiri, kata PM Anwar