PKP panjang antara punca utama bunuh diri
Langkah mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terlalu panjang menjadi punca utama mengapa sekurang-kurangnya 1,660 orang membunuh diri, kata bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Selain itu, ia telah dikatakan menjadi alat yang telah disalahgunakan untuk kepentingan sesetengah pihak untuk mencuri dana kerajaan.
“Selepas kerajaan PH dijatuhkan, saya telah dilantik sebagai Pengerusi STFC (Selangor Task Force for Covid-19). Melalui STFC kami telah mengkritik keras PKP yang prolonged (diperpanjangkan ) sebegitu.
“Kami lebih mencadangkan PKP yang terfokus dan tegas tetapi bukan begitu.
“Sebab itu saya bersetuju apabila PKP ini dikatakan tool (alat) yang telah disalahgunakan. Sepatutnya ia dibuat dalam jangka masa yang tepat dan pantas dan bukan prolonged,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.
Dr Dzulkefly berkata demikian dalam wawancara khas dengan Harapan Daily yang diadakan di Wisma Amanah dekat Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu Dewan Rakyat, 1,660 orang telah membunuh diri sepanjang PKP yang bermula 18 Mac 2020 hingga 31 Disember 2021.
Sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan berlaku di negara ini di antara Januari hingga Julai tahun 2021, iaitu peningkatan 143 peratus berbanding tempoh sama tahun 2020.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata berdasarkan laporan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), jumlah itu meningkat 1.4 kali ganda, berbanding 262 kes sahaja tahun lalu.
“Peningkatan dalam kematian akibat kes bunuh diri yang dilaporkan di Malaysia pada 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada 2019,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia pada 10 September 2021.
KESAN SAMPINGAN PKP
Bagi Dr Dzulkefly, selain kes bunuh diri yang ramai, kesan sampingan dari PKP yang panjang adalah kejatuhan ekonomi, industri, hilang pekerjaan dan akhirnya mereka yang tidak tahan terkurung lama dengan pelbagai masalah membunuh diri.
Katanya, kesan sampingan yang lebih berat lagi akibat PKP yang panjang ini adalah ia telah disalahgunakan untuk menyelewengkan dana negara.
“Saya tidak mahu membuat tuduhan dalam kes ini tetapi nampaknya kes ini sedang di siasat. Sebagaimana kata Perdana Menteri, biarlah pihak yang berwajib menjalankan kerjanya dan kita tunggulah hasilnya,” kata beliau.
Bagi Pengarah Strategi Amanah itu, semua ini berlaku kerana gaya kepimpinan perdana menteri ketika itu, Tan Sri Mahiaddin Md Yassin yang lemah.
“Kerana kelemahan Tan Sri Mahiaddin, gaya kepimpinannya dan mahu mempertahankan kerajaannya, Parlimen telah digantung semasa PKP kononnya untuk pengurusan pandemik padahal ia untuk mengekalkan tampuk kuasa. Yang Dipertuan Agong sendiri telah mengkritik langkah ini walaupun akhirnya terpaksa bersetuju.
“Ia telah menghasilkan kes bunuh diri terbesar dalam sejarah akibat dari post trauma dan tekanan perasaan akibat dari kepincangan dalam pentadbiran beliau yang sepatutnya diselesaikan jika ia lebih awal dikesan,” kata beliau.
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah belanjakan RM92.5 bilion wang negara untuk pengurusan semasa Covid 19 melanda negara dan kini menjadi sabjek kepada penyiasatan SPRM.
Menurut siastan awal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pihak yang mendapat kontrak mendedahkan, mereka diminta membayar tiga hingga lima peratus dari nilai kontrak yang diterima antara RM50 juta hingga RM500 juta itu dan dimasukkan ke dalam akaun parti yang memerintah ketika itu.
Jika 3 peratus, jumlah yang dicuri adalah RM2.775 bilion dan jika lima peratus jumlah yang disakau adalah RM4.625 bilion.
LAPORAN bersama Borhan Ahmad, Akmal Manaf dan Abdullah Zaid serta jurugambar Wan Zahari Salleh.
LAPORAN BERKAITAN