PM Anwar beri tumpuan selesaikan isu tertunggak dengan Singapura

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan memberi tumpuan untuk mencapai kemajuan dalam menyelesaikan isu-isu dua hala dengan Singapura yang tertunggak secara komprehensif.

PM Anwar menerima kunjungan hormat Menteri Luar Singapura Dr Vivian Balakrishnan hari ini.

Hasrat itu dinyatakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkenaan semasa menerima kunjungan hormat daripada Menteri Luar Negeri Republik Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan petang tadi.

“Semasa kunjungan hormat tersebut, kami bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala dan serantau yang menjadi kepentingan bersama.

“Saya turut menyatakan hasrat untuk memberi tumpuan kepada ekonomi dan bersama mencapai kemajuan dalam menyelesaikan isu-isu dua hala yang tertunggak secara komprehensif,” jelasnya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Balakrishnan berada di Malaysia sempena lawatan rasmi empat hari mulai 15 Januari lalu hingga esok.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Pertemuan dengan pemimpin Singapura itu ketika Malaysia di bawah Kerajaan Perpaduan yang baharu mencerminkan kesinambungan hubungan diplomatik dua negara tetangga yang telah lama terjalin.

Dalam hal berkaitan, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dipetik Bernama hari ini memaklumkan bahawa Perdana Menteri dijadual mengadakan lawatan rasmi ke Singapura pada akhir bulan ini.

Sementara itu, kata bekas Menteri Besar Perak berkenaan lagi, Presiden Singapura, Halimah Yacob akan melakukan kunjungan rasmi ke Malaysia pada Mac nanti.

Baca juga Kerajaan jimat RM10 bilion jika bendung ketirisan – PM