Rombakan pentadbiran, beberapa Ketua Setiausaha kementerian bertukar
Selang dua hari selepas pemukiman Jemaah Menteri di Putrajaya, kerajaan melakukan rombakan pentadbiran melibatkan pengurusan kanan di beberapa kementerian.
Pemeriksaan Harapan Daily mendapati beberapa kementerian menyaksikan berlaku pertukaran Ketua Setiausaha masing-masing berkuat kuasa hari ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu hari ini mengucapkan tahniah kepada Ketua Setiausaha kementerian yang baharu Datuk Lokman Hakim Ali.
“Tahniah dan selamat datang saya ucapkan kepada Datuk Lokman Hakim Ali di atas pelantikan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan,” kata beliau di Facebook.
Lokman Hakim menggantikan Datuk Haslina Abdul Hamid.
Sementara itu, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof yang sebelum ini merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan kini menjawat Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) berkuat kuasa 17 Januari.
Bekas Ketua Setiusaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Jana Santhiran Muniayan pula dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan.
Beliau menggantikan Datuk Isham Ishak yang akan bertugas di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Setakat ini pengumuman mengenai pelantikan Ketua Setiausaha kementerian baharu dibuat di laman sosial kementerian terbabit.
Tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh Pejabat Ketua Setiausaha Negara atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Namun sumber menyebut pengumuman seterusnya bakal menyusul.
“Setakat ini pertukaran ini tidak dianggap sebagai rombakan besar-besaran tapi sekadar membuat penyesuaian ekoran pengecilan saiz Kabinet,” katanya.
Pada 2 Disember lalu, Anwar mengumumkan senarai 28 menteri Kabinet selepas lapan hari mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10.
Saiz Kabinet Kerajaan Perpaduan pimpinannya dilihat lebih kecil berbanding pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Ekoran pengecilan itu, Kementerian Wilayah Persekutuan misalnya kini dikenali sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan.
BACA JUGA: Pemukiman Jemaah Menteri: PM mahu reformasi pentadbiran, tadbir urus
Â