15.6 juta pelancong sasaran MOTAC

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mensasarkan 15.6 juta pelancong antarabangsa ke Kuala Lumpur pada tahun ini dengan unjuran perbelanjaan pelancongan sebanyak RM47.6 bilion kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan.

Beliau berkata, bagi membolehkan sasaran ini dicapai, penambahbaikan sistem sekuriti dan keselamatan awam telah dititikberatkan bagi membolehkan pelancong berasa selamat untuk berkunjung ke negara ini.

Dalam usaha untuk menjadikan Bandaraya Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar pintar dan selamat, inisiatif Kuala Lumpur Command And Control Centre (KLCCC) yang diuruskan oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digunapakai bagi memastikan keselamatan warga bandaraya dan pelancong sentiasa berada dalam keadaan yang selamat.

“Saya menyambut baik inisiatif pemasangan 5000 kamera litar tertutup (CCTV) pintar di sekitar bandaraya Kuala Lumpur bagi memastikan keselamatan awam sebagai sebahagian daripada transformasi DBKL untuk menjadikan bandar ini sebagai bandaraya pintar.

“Saya juga amat tertarik dengan sistem pengawasan video pintar yang disediakan di bilik kawalan.

“Sistem ini disepadukan dengan teknologi kecerdasan buatan (artificial intelligence) dan analitik kandungan video yang sudah pastinya dapat meningkatkan kawalan keselamatan orang ramai di bandaraya ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sebelum itu beliau mengadakan lawatan rasmi ke KLCCC DBKL bersama-sama dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim dan pengurusan tertinggi DBKL sebelum diberikan taklimat berkaitan fungsi KLCCC.

KLCCC berperanan sebagai hub pengurusan kawalan trafik dan bencana bagi menerima, memproses dan menyebarkan segala maklumat terkini sepanjang masa untuk mengurus, memantau, mengumpul dan menghebah maklumat trafik dan bencana yang terkini dari semasa ke semasa kepada warga kota.

Menurut Khairul juga, beliau begitu teruja dan berbangga apabila dimaklumkan bahawa sistem pengawasan video pintar ini telah diinovasi dan dibina sendiri oleh anak tempatan.

Katanya, sistem keselamatan ini akan diperluaskan termasuk menambah baik dari semasa ke semasa supaya pemantauan keselamatan ini dapat dipertingkatkan.

“Saya berharap lebih banyak bandar dan negeri di Malaysia akan menerima pakai sistem dan teknologi seperti ini.

“Kerana saya percaya ia akan meningkatkan keselamatan awam dan menjadikan negara ini lebih selamat untuk dikunjungi pelancong luar mahupun penduduk tempatan,” ujarnya.