‘Fokus jadi pembangkang Hadi, rekod anda buruk’

Pemuda AMANAH Nasional hari ini menempelak kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengibaratkan kerajaan sebagai kerajaan ‘berkepala besar’ dan bukannya Kerajaan Perpaduan.

Naib Ketuanya, Abbas Azmi berkata, kenyataan kepala besar yang dilabel Ahli Parlimen Marang itu kepada kerajaan hanya cubaan menimbulkan persepsi negatif kepada usaha kerajaan hari ini.

“Hadi seharusnya menjadikan reputasi kerja beliau ketika menjawat jawatan Duta Khas Timur Tengah bertaraf menteri sebagai contoh kepada kerajaan hari ini mengambil pengajaran.

“Jadikan pengalaman dan segala hubungan baik antara negara-negara luar untuk membantu kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menambah bahawa rakyat kebanyakan menanggung kerosakan dan kesusahan kerana kegagalan kerajaan pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dalam membangunkan ekonomi dan menangani kos sara hidup ketika Covid-19.

Sebelum ini, Hadi sebahagian daripada kerajaan pimpinan Mahiaddin.

Justeru, Abbas menyarankan agar Abdul Hadi bertindak sebagai pembangkang yang sebenar dengan saling membantu menguruskan negara dan bukannya sibuk melabel kerajaan dengan persepsi negatif.

“Sekarang adalah masa untuk sama-sama saling bantu atas semangat perpaduan membantu menguruskan kembali negara agar penderitaan rakyat ketika pandemik Covid-19 yang lepas dapat segera kita tamatkan.

“Melabel kerajaan dengan pelbagai gelaran lansung tidak membantu rakyat dan negara,” katanya.

Semalam, Hadi  berkata, konsep sebenar Kerajaan Perpaduan adalah tiada pembangkang atau pembangkang terlalu kecil dan tidak bermaya.

Dalam catatan ruangan Minda Presiden, Abdul Hadi berkata jika kepalanya terlalu besar melebihi daripada jasadnya sendiri, maka kemungkinan jatuhnya itu lebih mudah.

Mengulas lanjut Abbas berkata, Abdul Hadi sebagai Ahli Parlimen pembangkang seharusnya menjalankan tugas sebagai badan semak dan imbang.

Baca juga PM Anwar datang tapi pemimpin Pas Terengganu tak kenang budi

Â