Gerakan mahu keluar PN?

Terdapat pergolakan di dalam Perikatan Nasional sekarang kerana pihak-pihak tertentu di dalam Parti Gerakan Rakyat Malaysia ingin parti mereka keluar dari PN.

Pemimpin Gerakan Kelantan, Ong Khang Woon menyatakan bahawa beliau mengetahui dalang di sebalik usul tersebut. Mereka husnuzon tetapi parti Gerakan perlu berhati-hati dalam membuat keputusan berkenaan isu ini.

“Kita tidak boleh membuat keputusan berdasarkan sentimen atau faktor bangsa dan agama sahaja. Kita perlu penganalisaan data dan hujah yang meyakinkan sekiranya mahu keluar daripada pakatan ini yang didominasi parti Melayu,” kata beliau kepada laman sesawang berita, The Vibes.

Ada pihak yang bimbang sekiranya Gerakan kekal dalam PN yang didominasi Pas dan Bersatu maka parti tersebut akan hilang peluang untuk memenangi semula kerusi di Pulau Pinang yang pernah ditadbir oleh Gerakan.

Bagaimanapun Gerakan masih memerlukan undi Melayu untuk menang kerana undi masyarakat bukan Melayu sekarang berada dalam genggaman Pakatan Harapan yang memimpin kerajaan persekutuan.

Sebilangan pihak di dalam parti Gerakan di Pulau Pinang sudah pun memberikan isyarat bahawa mereka lebih cenderung bersetuju untuk bertanding secara solo di dalam pilihan raya negeri yang akan berlangsung di enam negeri tahun ini.

Kecenderungan mereka adalah berpunca daripada kempen Bersatu dan Pas yang terlalu agresif memperjuangkan agenda Melayu sehingga ia memudaratkan parti Gerakan.

“Kita tidak mahu sejarah berulang di dalam pilihan raya tahun ini. Gerakan ditolak rakyat kerana ia dilihat sebagai menunduk kepada Umno ketika kita berada dalam kerajaan semasa pilihanraya umum dalam tahun 2008,” kata seorang sumber.

“Perkara sama boleh berlaku kerana Pas dan Bersatu begitu dominan dan menyebabkan masyarakat bukan Melayu bimbang dengan perkara-perkara yang mereka bangkitkan.”

PRN di enam buah negeri iaitu Kedah, Penang, Selangor, Negri Sembilan, Kelantan, dan Terengganu besar kemungkinan berlaku di antara bulan Mac dan Jun. Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah memberikan isyarat bahawa PRN di negeri tersebut wajar diadakan pada bulan Jun.

Chow yang juga adalah pengerusi PH Pulau Pinang berkata keputusan tuntas mengenai perkara ini akan diambil untuk memastikan jentera bersedia menghadapi PRN.

Pemimpin veteran Gerakan di Pulau Pinang, Wong Mun Hoe, berkata masyarakat Cina perlu bersedia menerima ketua menteri Melayu pada masa akan datang – dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang kerana peningkatan masyarakat Melayu berbanding Cina di negeri tersebut.

Demografi masyarakat Melayu meningkat di Pulau Pinang berbanding dengan masyarakat Cina yang berpindah ke luar negara atau bekerja di luar. Gerakan perlu bertahan dan menerima realiti politik ini,” katanya.

Wong turut menyatakan bahawa partinya perlu bermuhasabah. Beliau telah pun memberitahu perkara ini kepada presiden Gerakan, Datuk Seri Dominic Lau kerana partinya bakal berdepan kekalahan. Oleh itu adalah lebih baik fokus parti diarahkan kepada PRU16 dengan sasaran untuk kembali ke persada politik negara.

Ong turut berkata PRU 16 adalah masa terbaik untuk kebangkitan Gerakan di Pulau Pinang.