Kenyataan Ramasamy tak perlu dirisaukan

Kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P Ramasamy berkenaan presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang digambarkan sebagai beban kepada Umno dan Pakatan Harapan tidak perlu dirisaukan sama sekali.

“Saya tidak rasa sesiapa pun perlu risau berkenaan kenyataaan Ramasamy. Beliau bukan terdiri daripada kepimpinan DAP dan beliau memang lantang membangkitkan pelbagai isu,” kata profesor pengajian Asia Dr James Chin dari Universiti Tasmania, Australia.

“Saya tidak rasa beliau akan meneruskan serangannya kerana DAP dan Umno berada dalam blok kerajaan,” tambah beliau.

Chin menambah bahawa Ramasamy akan mengkritik dan berdiam diri memandangkan kedua-dua parti akan bekerjasama dalam siri pilihan raya negeri yang akan berlangsung tahun ini. Tahun ini menyaksikan pilihan raya negeri di enam buah negeri – Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Tiga hari yang lalu, Ramasamy yang mengulas perkembangan Perhimpunan Agung Umno berkata: “Zahid mungkin tidak terjejas buat masa ini, tetapi dia seolah-olah menjadi ‘beban’ kepada Umno dan sedikit sebanyak kepada Pakatan Harapan (PH) atau kerajaan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pandangan Chin bagaimanapun tidak dikongsi oleh Dr Mazlan Ali, pensyarah kanan di Fakulti Teknologi dan Informatik Razak di Universiti Teknologi Mara.

“Itu adalah masalah dalaman Umno. Yang memilih untuk membuat keputusan itu ialah perwakilan Umno dan perhimpunan agung Umno adalah badan yang tertinggi dalam parti yang boleh membuat keputusan termasuk memecat Presiden Umno dan ahli-ahli tertinggi. Oleh itu, P Ramasamy perlu menghormati keputusan PAU dan komennya terhadap Umno iaitu Zahid Hamidi ialah komen yang sangat peribadi,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa perwakilan mengekalkan gandingan Ahmad Zahid dan Mohamad Hasan sebagai kepimpinan tertinggi Umno. Mohamad ialah ahli parlimen Rembau yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Mat.

“Jadi soal kenapa mereka kekalkan Zahid dan Tok Mat ialah kerana mereka tahu bahawa Umno tidak mampu utk berpecah dalam situasi Umno yang telah tewas dalam PRU15 yang lalu.

“Mereka mahu supaya presiden dan timbalan presiden sekarang ini, dapat menyelesaikan perkara yang sangat penting iaitu untuk mengekalkan dan memastikan Umno terus teguh dan dapat bangkit semula,”katanya.

Geostrategis UTM Prof Madya Dr Azmi Hassan pula merasakan permasalahan yang melanda Umno adalah berpunca dari akar umbi bukannya pemimpin tertinggi parti tersebut.

“Jadi dalam hal ni bukan dikatakan hanya nombor satu (Zahid) dan nombor dua (Tok Mat) masalahnya, tapi ia berpunca daripada bawah lagi iaitu pencawangan, bahagian, pemuda, sayap-sayap, puteri wanita terus ke atas, itu adalah punca stigma negatif yang telah dikatakan melekat dengan Umno,” kata beliau.

Oleh itu, pemulihan untuk Umno perlu melibatkan segenap lapisan kepimpinan sebelum pemilihan Umno pada 19 Mei.