PKR Selangor susun strategi kekalkan majoriti dua pertiga pilihan raya negeri
Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan sasaran untuk mempertahankan kemenangan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor yang dijangka diadakan beberapa bulan lagi.
Untuk itu, Pengarah Operasi Pilihan Raya PKR Selangor Mohd Yahya Mat Sahri berkata pihaknya sedang giat menyusun strategi sebagai persediaan menghadapi PRN dengan kini berada dalam fasa bersiap-siaga.
Jelasnya persediaan itu merangkumi strategi menggerakkan seluruh kekuatan jentera akar umbi parti bersama parti komponen Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri.
“Daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, misi kita adalah untuk mempertahankan dua pertiga kerusi atau lebih.
“Oleh itu, sekarang masanya untuk pemimpin di semua peringkat termasuk Ranting, Cabang, DUN atau Parlimen perlu bergerak segera untuk santuni pengundi-pengundi,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.
Mohd Yahya yang juga Pengarah Pilihan Raya PH Selangor berkata pihaknya mula menyusun strategi berdasarkan hasil analisis terhadap data keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membolehkan kemenangan besar dapat dicapai.
Jelas beliau PH kini mempunyai kelebihan akses media massa di peringkat nasional walaupun penggunaannya terhad tetapi ia masih relevan.
“Kalau dulu pemimpin kita tidak boleh muncul di televisyen dan radio tetapi sekarang sebaliknya.
“Input yang ada di media perdana akan digunakan sebagai medium penyampaian di peringkat media sosial seperti di Facebook, Instagram atau TikTok,” ujarnya.
Kata beliau pihaknya turut menekankan kepentingan medium lama iaitu berkempen dari rumah ke rumah selain menelefon pengundi atas pagar.
Dalam Konvensyen Pilihan Raya PKR Selangor pada 14 Januari lalu, Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari menggesa PH untuk mengaktifkan segera semua jentera di peringkat cabang dan daerah mengundi di Selangor sebagai persediaan awal menghadapi PRN.