PM: Tol percuma 20, 21 Januari, kurang beban rakyat sempena Tahun Baharu Cina
Kerajaan hari ini mengumumkan pemberian tol percuma pada 20 dan 21 Januari ini bagi mengurangkan beban rakyat untuk pulang ke kampung sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu diputuskan selepas Menteri Pengangkutan dan Menteri Kerja Raya mengadakan perbincangan dengan syarikat konsesi lebuh raya terlibat.
“Pertama berita baik, Selamat Tahun Baharu Cina, jadi untuk itu, Menteri Kerja Raya dan Menteri Pengangkutan telah ambil inisiatif berbincang dengan syarikat konsesi dan bersetuju untuk tiada bayaran tol pada 20 dan 21 Januari,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya pada Rabu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pemberian tol percuma itu melibatkan semua kelas kenderaan dengan implikasi kewangan kerajaan sekitar RM40 juta.
“Ini kerana bukan sahaja (untuk) kaum Cina tetapi kaum Melayu, India dan yang lain akan ikut serta bercuti dan meraikan semangat perpaduan.
“Saya ingatkan semua untuk berhati-hati di jalan raya dan kurangkan risiko kemalangan secara bersama,” katanya.