Syarikat Korea Selatan paling tinggi mohon buka restoran di Malaysia

Kerajaan menggalakkan lebih ramai pelabur asing dalam sektor perdagangan dan peruncitan untuk membuka perniagaan di negara ini kerana ia dapat membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata sepanjang tahun lalu kementerian telah menerima sebanyak 306 permohonan daripada syarikat asing melibatkan 761 cawangan untuk menjalankan perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran.

“Daripada jumlah tersebut, sektor restoran merekodkan jumlah permohonan tertinggi iaitu sebanyak 176 permohonan.

“Jumlah kumulatif modal berbayar yang dibawa masuk oleh syarikat asing pada tahun 2022 ialah sebanyak RM8.952 bilion di dalam pasaran tempatan,” kata Datuk Seri Salahuddin Ayub selepas merasmikan Majlis Pembukaan Paris Baguette Bakery Café di Pavilion, Kuala Lumpur pada Rabu.

Paris Baguette Bakery Café merupakan rangkaian kafe terbesar di Korea Selatan dan telah mempunyai lebih 3,400 cawangan di seluruh dunia.

Hadir sama Ketua Setiausaha kementerian Datuk Azman Mohd Yusof, Duta Besar Korea Selatan Yeo Seung-bae, Pengerusi Berjaya Corporation Bhd. Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPC Hur Jin Soo.

Kakitangan Paris Baguette Bakery Café bergambar selepas perasmian pembukaan restoran Korea Selatan itu di Pavilion, Kuala Lumpur pada 18 Januari 2023. Foto Pavilion Kuala Lumpur

Salahuddin berkata syarikat dari Korea Selatan merupakan antara syarikat yang paling banyak diluluskan untuk menjalankan perniagaan dalam sektor restoran.

Katanya kementerian yakin lebih banyak syarikat asing akan melabur dan membuka perniagaan di negara ini.

Jelas beliau kerajaan telah meliberalisasikan lagi sektor perkhidmatan untuk menarik lebih banyak pelaburan asing melalui penambahbaikkan Garis Panduan Penyertaan Asing Dalam Sektor Perdagangan Dan Pengedaran (GP2023).

“Selain itu, permohonan kelulusan pembukaan perniagaan syarikat asing boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem Business Licensing Electronic Support System (BLESS).

“Ini merupakan inisiatif kerajaan bagi membantu syarikat mempermudahkan proses permohonan sejajar dengan misi kerajaan iaitu ease of doing business,” katanya.