Tidak pertanding jawatan tertinggi Umno, bukti demokrasi subur

Keputusan Umno yang meluluskan usul tidak mempertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden adalah bukti bahawa amalan demokrasi subur di dalam parti tersebut, kata ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Datuk Puad Zarkashi.

“Keputusan perwakilan dianggap tidak demokratik. Sedangkan dalam mesyuarat MKT pada 5 Januari 2023, terdapat cadangan supaya jawatan nombor satu dan dua tidak dipertandingkan,” kata Puad dalam hantaran Facebooknya.

“Cadangan itu ditolak. Presiden UMNO juga tidak bersetuju. UMNO pernah dua kali tiada pertandingan jawatan Presiden. Kedua duanya diluluskan oleh MKT bukan oleh perwakilan.

“Kenapa orang luar UMNO turut bising? Konon UMNO tidak demokratik. Sebenarnya mereka tidak suka Zahid. Politiknya liat untuk dibunuh. Isu kluster mahkamah gagal jatuhkan Zahid.”

Beliau menggambarkan pihak yang menuntut pertandingan sebagai terdesak dalam bahasa Inggeris, “desperado” dan menjadi duri dalam daging.

“Puak desperado ini menyusahkan parti selama lima tahun. Mereka tidak ikut keputusan parti. Jadi duri dalam daging. Keputusan PAU 2022 mengabsahkan gelagat mereka telah ditolak.”

“Ia mendedahkan secara terbuka siapa kuncu kuncu mereka. Kali ini mereka tersisih. Mereka tambah sukar untuk menguasai parti dan guna parti untuk agenda peribadi,” katanya.

Mantan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar merupakan antara individu yang berniat mencabar kedudukan presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekiranya usul di atas tidak menjadi kenyataan. Selain beliau, mantan naib presiden Umno Datuk Seri Hishamuddin merupakan antara tokoh yang disebut akan bertanding dalam pemilihan Umno.

Puad turut mengingatkan anggota Umno bahawa pertandingan melibatkan mantan presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad dan ahli veteran Umno Tengku Razaleigh menyebabkan Umno diharamkan dalam tahun 1980an.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas ahli MKT Datuk Lokman Adam menyatakan bahawa Umno meluluskan usul sebegini dalam tahun 1996 dan 2001. Ketika itu usul itu dibawa oleh MKT.