Betulkah hutang kerajaan dah menjangkau RM1.5 trilion?

Oleh NIK HASYUDEEN

Semenjak tahun 2018 lagi jumlah hutang kerajaan menjadi pertikaian. Ada pihak yang menyebut angka dan besar dan ada pihak memilih angka yang lebih kecil.

Pihak yang pertama bukan sahaja mengira hutang langsung kerajaan persekutuan tetapi mengambilkira juga komitmen lain yang mahu tidak mahu akan dibayar oleh kerajaan persekutuan termasuk komitmen jaminan, hutang 1MDB dan lain-lain tanggungan yang ada di dalam pelbagai skim yang akhirnya dijamin oleh kerajaan.

Pihak yang satu lagi bermati-matian menggunakan kaedah teknikal dengan menghadkan hutang kerajaan kepada hutang kerajaan persekutuan sahaja. Mereka tidak mahu hutang seperti hutang 1MDB dikira sebagai hutang kerajaan. 1MDB ada aset yang bernilai berbilion kata mereka.

Pihak kedua ni lupa bahawa untuk menyelamatkan negara, kerajaan telah mengambil alih hutang-hutang seperti SRC dan TRX sebagai hutang kerajaan. Ini bermakna aset-aset berkaitan (sekiranya ada) juga sudah diambil alih oleh kerajaan.

Sebagai contoh, sukuk-sukuk SRC berjumlah dalam RM4 bilion sudah dibayar sepenuhnya kepada KWAP, tabung pencen penjawat awam. Apa aset yang kerajaan dapat? Saya yakin, tidak ada orang yang boleh menjawab soalan ini.

Tanah-tanah TRX yang diambil alih oleh kerajaan perlu dibangunkan. Mana datang duit untuk membangunkan projek-projek ini jika tidak dari dana pembayar cukai? Jadi, nilai aset berbilion tu hanya akan dapat didapati sekiranya tanah-tanah berkenaan dibangunkan dahulu dan laku dijual, bukan setakat ditayangkan sahaja untuk jadi “kebangaan”. Jika dibiarkan tanpa apa-apa pembangunan, nilainya tidaklah setinggi apa yang diwar-warkan.

Komitmen jaminan pula ialah hutang-hutang pelbagai agensi dan syarikat kerajaan yang tidak mampu dibayar oleh agensi dan syarikat demikian kerana tidak ada aliran tunai yang kukuh. Satu contoh yang saya amat faham ialah sukuk-sukuk Urusharta Jamaah yang diterbitkan kepada Tabung Haji.

Urusharta Jamaah menerbitkan sukuk-sukuk bernilai RM20 bilion sebagai balasan dari pembelian aset-aset sakit Tabung Haji bernilai RM10 bilion. Ini bertujuan menutup lobang yang menjadi jurang di antara aset dan liabiliti Tabung Haji sebesar RM10 bilion di akhir tahun 2018.

Walaupun Urusharta Jamaah berusaha untuk meningkatkan nilai harta yang dibeli dari Tabung Haji, adalah sukar untuk menaikan nilainya kepada RM27 bilion, jumlah yang perlu dibayar kepada Tabung Haji di akhir tempoh sukuk-sukuk berkenaan. Jadi, komitmen jaminan yang diberikan oleh kerajaan persekutuan berdasarkan Seksyen 14, Akta Tatacara Kewangan 1957 [Akta 61] akan mengikat kerajaan untuk membayarnya dari dana pembayar cukai.

Satu lagi syarikat yang menerima komitmen jaminan ini adalah Pasarana yang menguruskan sistem LRT dan MRT. Itu lebih besar dari Urusharta Jamaah dan semua orang tahu isu dan cabaran Pasarana.

Selain dari komitmen jaminan, kerajaan juga telah membina pelbagai bangunan dan infrastruktur di bawah konsep penswastaan. Apabila bangunan dan infrastruktur siap, kerajaan akan menjadi penyewanya dan perlu membayar sewa seperti yang dijanjikan. Jika tak bayar, tak berdaya majulah projek-projek ini dan tak ada pihak yang akan membiayai pembinaan mereka. Jadi, kerajaan tak boleh mungkir lagi.

Apabila ini semua dicampurkan, sampailah jumlahnya melebihi RM1.5 trilion. Di dalam tinjauan fiskal 2023 yang terbitkan oleh kerajaan sebelum ini, setakat Jun 2022, hutang, komitmen dan liabiliti kerajaan persekutuan sudah pun berjumlah RM1.4 trilion. Dengan faedah dan keuntungan yang perlu dibayar, tak peliklah jika sudah mencapai RM1.5 trilion sekarang.

Ini hutang yang kita sama-sama tanggung. Kerajaan adalah wakil kita, bukannya entiti asing yang tak ada kena mengena dengan kita.


Penulis adalah bekas CEO Tabung Haji.

 

BACA JUGA Malaysia Madani pendekatan selamatkan negara