Kekal OPR: Rakyat puji PM Anwar, penyokong PN ditempelak hipokrit

Rata-rata pengguna media sosial memuji Kerajaan Perpaduan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut.

Walau bagaimanapun, ramai dilihat menyedari bahawa keputusan berkaitan dengan OPR tidak membabitkan campur tangan kerajaan seperti dijelaskan Perdana Menteri pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet, 4 Januari lalu.

“Alhamdulillah. Moga Allah berkati Kerajaan Perpaduan pimpinan DSAI. Amin.

“Terbaik Kerajaan Perpaduan. Nak harap pada Abah jadi PM balik, dia sendiri pun bakal didakwa,” dipetik antara komen dan sindiran netizen.

Dalam masa sama, warganet dilihat menempelak penyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai hipokrit apabila sebelum ini cenderung menyalahkan Kerajaan Perpaduan jika muncul isu yang mereka anggap boleh dipolitikkan.

Malah, ada yang berpendapat bahawa penyokong Bersatu dan Pas yang digelar ‘walaun’ sahaja yang sebelum ini kecoh dengan menjadikan isu kenaikan OPR sebagai modal menyerang Kerajaan Perpaduan.

“Kalau kekal (OPR) puji BNM. Kalau naik, maki Anwar. Kisah hidup ‘walaun’ Pencacai Nasional.

“Kenapa PMX suka menyakiti hati ‘walaun’?

“Pertama kali kerajaan dapat hentikan kenaikan. Dulu masa PN dua kali, siapa pun tak berani tegur BNM. Sibuk dengan politik saja,” demikian antara reaksi orang ramai.

Keputusan mengejut BNM mengekalkan OPR berlaku ketika Malaysia Madani digagaskan Perdana Menteri Anwar.

Untuk rekod, Anwar bulan lalu berkunjung ke BNM untuk mendengar taklimat mengenai prospek, cabaran dan tumpuan dasar ekonomi negara.

Beliau dalam ciapan Twitter pada 15 Disember lalu memberitahu bahawa kerajaan akan bertindak segera melalui pendekatan jangka pendek dan jangka panjang bagi mendepani cabaran ekonomi negara dengan mengambilkira pelbagai risiko.

Pengekalan OPR menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) hari ini dilihat sebagai keputusan mengejut selepas empat kenaikan secara berturut-turut.

Keputusan mengekalkan penanda aras pinjaman tersebut sekali gus menamatkan spekulasi pasaran mengenai kitaran kenaikan OPR.

Sebelum ini, sebahagian besar penganalisis menjangkakan OPR meningkat ke paras sebelum pandemik Covid-19 iaitu kenaikan 0.25 peratus lagi.

Kenaikan OPR sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Reaksi positif orang ramai berhubung pengumuman BNM itu juga dilihat meredakan kebimbangan majoriti rakyat yang terkesan dengan inflasi dan kenaikan harga barangan.

OPR yang dikekalkan juga melegakan golongan peminjam yang membabitkan pembiayaan kadar apungan seperti pinjaman rumah apabila tidak perlu membayar kadar faedah lebih tinggi.

Sebelum ini, pinjaman atau pembiayaan yang berasaskan kadar apungan akan meningkat setiap kali OPR dinaikkan menyebabkan jumlah pembayaran bulanan turut bertambah.

Baca juga Malaysia Madani tidak akan abai Sabah, Sarawak