Kerajaan Perpaduan perlu memikat hati pengundi muda

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri Perak Ahmad Faiq Ariff, menegaskan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu memikat hati pengundi muda yang tidak mendapat pendidikan politik yang secukupnya.

Sebelum ini, kerajaan telah menguatkuasakan undi 18 pada 15 Disember 2021 lalu, memberi peluang kepada 1.2 juta pengundi muda untuk membuat undi.

Bagaimanapun golongan pemilih baru ini, tidak diberikan bimbingan sepenuhnya tentang pendedahan politik sekaligus memberi kesan kepada keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lepas.

“Kerajaan pusat perlu membuat pendedahan politik khususnya undi18. Mereka ini perlu diberi ruang pendidikan bermula dari peringkat sekolah menengah lagi supaya golongan ini dapat membuat keputusan yang lebih matang dan baik untuk negara,” katanya.

Faiq menambah, pendekatan ‘turun padang’ juga harus dibuat secara klinikal bagi memberi pencerahan kepada masyarakat luar bandar mengenai prestasi kerajaan dari masa ke semasa. Contohnya, program ramah mesra membabitkan kementerian dengan masyarakat tempatan.

“Bagi saya kerajaan perlu komited membuat program bertemu dengan pengundi luar bandar bagi memberi pendedahan dan iniasitif yang disediakan oleh kerajaan. Program-program yang menyantuni masyarakat pinggir bandar perlu diberi keutamaan,” ujar beliau.

Beliau juga memaklumkan, hebahan inisiatif dan prestasi kerajaan secara infografik dapat membantu memudahkan penyampaian maklumat kepada orang ramai.

“Penilaian dan prestasi kerajaan pusat perlu dibuat secara inforgrafik supaya mudah masyarakat untuk menilai prestasi kerajaan pusat,” katanya.

Dalam hal yang berkaitan, Menteri Menteri Komunikasi dan Digital Malaysia Fahmi Fadzil mengambil iniasitif memadam 2,113 kandungan video di aplikasi media sosial TikTok kerana didapati melanggar Garis Panduan Komuniti platform media sosial tersebut.