Pelajar, OKU bakal nikmati pengangkutan awam percuma – Menteri

Golongan Orang kurang upaya (OKU) dan pelajar akan menikmati tiket tren secara percuma setelah Kementerian Pengangkutan berbincang dengan pengurusan syarikat penyedia perkhidmatan awam tersebut dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, beliau akan mengadakan pertemuan bersama KTMB dan Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) bagi membincangkan kaedah pelaksanaan inisiatif berkenaan.

Tambahnya, kementerian sedang melihat sektor dan perkhidmatan yang mungkin untuk diberikan secara percuma, secara berfasa.

“Saya sudah minta KTMB untuk melihat bagaimana boleh dioptimumkan subsidi yang diberikan kerajaan kepada KTMB untuk kegunaan manfaat golongan OKU dan juga pelajar.

“Pihak KTMB ada perkhidmatan KTM Komuter dan KTM Komuter Utara dan perkhidmatan kereta api di Pantai Timur yang digunakan oleh pelajar-pelajar sekolah, jadi saya akan melihat bagaimana untuk perkhidmatan percuma khususnya perkhidmatan komuter dan kereta api KTM ini dapat ditawarkan,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Pertandingan Kaligrafi Cina Tahun 2023 di Sekolah Tinggi Chung Hua Seremban di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Terdahulu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata golongan OKU bakal menikmati kelebihan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam secara percuma dan memaklumkan perkara itu juga sudah dipersetujui Anthony.

Beliau berkata inisiatif berkenaan tidak memerlukan sebarang peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan.

Sebaliknya kata beliau kerajaan akan mengoptimumkan sumber yang ada termasuk menerusi bantuan dan subsidi yang telah diberikan sebelum ini.

“Memang saya ada perancangan, kita optimumkan sumber yang ada dalam kerajaan, perlu kita lihat kembali bagaimana untuk menstrukturkan semula bantuan dan subsidi supaya ia lebih bersasar dan sampai kepada golongan yang memerlukan.

“Saya tidak melihat perlunya peruntukan tambahan daripada Kementerian Kewangan, gunakan peruntukan sedia ada, apabila kita rombak semula, apabila kita sasarkan peruntukan itu ia dapat bantu golongan OKU dan pelajar,” jelasnya.