Ajaran Fawwaz tidak masuk akal, kata bekas Imam Besar

Mantan imam Masjid Negara Datuk Hassan Mahmud al Hafiz menggambarkan dakwaan Ahli Parlimen Permatang Pauh Mohamad Fawwaz Mohamad Jan berkenaan penyimpanan hadis Sahih Bukhari untuk mencegah jenayah sebagai suatu perkara yang tidak masuk akal.

“Umpamanya sakit di kepala dia rawat di kaki… haa macam tu laa tak kena sasarannya,” kata Hassan.

“Sesuatu benda itu kena pakai logik juga, jadi cara yang dia buat itu tidak ada dalam Al Quran, tak ada dalam hadis. Umpamanya kalau orang sakit kita nak bagi ubat yang tidak kena mengena, mana boleh?” tambah beliau

Beliau berkata demikian ketika mengulas berkenaan video yang tular di mana Fawwaz mendakwa bahawa penyimpanan Hadis Sahih Bukhari akan mencegah rumah diceroboh orang dan mencegah kecurian kereta.

Klik untuk tonton video Ustaz Fawwaz

“Beli dan bubuh di rumah satu. Kalau nak kemaih lagi, beli satu lagi boh dalam kereta. Pasai apa ustaz. Imam Bukhari sebut, sapa-sapa rumah dia ada sahih aku, rumah dia pencuri tak masuk.

“Sapa-sapa kapal dia ada sahih aku, kapal dia tidak tenggelam,” katanya dalam video tersebut.

Hassan menjelaskan bahawa hadis perlu dibaca, difahami dan dihayati kerana peranan hadis di dalam Islam berbeza dengan amalan ajaran agama lain.

“Kalau dalam Islam, dia suruh kita baca dan kita faham. Kita hayati, contohnya kitab Bukhari ke ayat Quran ke, kita baca dan kemudian kita dijauhkan daripada penyakit atau terlibat dengan benda yang haram. Itu boleh.

“Bukan letak jadi patung sahaja, itu tidak boleh. Kitab Bukhari itu kita kena amalkan. Kita kena kawal makan, kawal diri kita, hindari benda haram. Quran pun sama juga. Takkanlah kita nak letak begitu saja. Sudah aman dah ke rumah kita? Kita kena buka isi dalam itu dan kita baca,” kata beliau.

Sebelum ini Fawwaz yang juga merupakan Exco Pemuda Pas Permatang Pauh turut mencetuskan kontroversi apabila beliau menyeru agar penjualan arak di kompleks membeli belah tidak dilakukan secara terbuka.

BACA JUGA: Kitab Sahih Bukhari habis bekalan di Pulau Pinang?