Anwar umum peruntukan RM1 bilion, naik taraf prasarana sempadan Sabah, Sarawak

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM1 bilion untuk memulakan kerja-kerja menaik taraf prasarana dan keupayaan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak dan Sabah.

Perdana Menteri berkata kelulusan tersebut dibuat susulan perbincangan beliau dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo baru-baru ini berhubung perpindahan ibu kota negara itu ke Nusantara, Kalimantan yang berkongsi sempadan dengan kedua-dua wilayah Malaysia itu.

“Kita telah putuskan untuk memberi peruntukan tambahan bagi penyediaan CIQS sempadan dari segi keselamatan dan meningkatkan keupayaan CIQS dan prasarana asas seperti jalan raya kerana kita tidak mahu dilihat seperti terlalu daif,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuching pada Jumaat.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan beberapa menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.  – BERNAMA