Bekalan telur ayam masih tak menentu di Petaling Jaya

Bekalan telur ayam di beberapa premis di daerah Petaling Jaya terutamanya yang membabitkan kuantiti 30 biji sepapan masih tidak menentu.

Tinjauan di beberapa pasar raya hari ini mendapati, bekalan telur ayam jenis biasa dalam kuantiti 30 biji sepapan tidak ada di pasaran, malah bekalan yang ada hanya adalah telur Omega.

Pekerja di sebuah pasar raya, yang enggan namanya didedahkan berkata, bekalan telur ayam telah terputus sejak November lalu.

“Tak silap saya, sejak November tahun lalu bekalan telur ayam tiada di sini. Pembekal cuma hantar telur Omega,” katanya.

Seorang lagi pekerja di sebuah pasar raya pula mendakwa mereka hanya mendapat bekalan telur ayam hanya sekali seminggu.

“Pembekal hantar telur seminggu satu kali, hari Selasa sahaja. Tak ada stok-stok,” jawabnya ringkas ketika ditanya mengenai bekalan telur di pasar raya tersebut.

Bagi peniaga kedai makan, Helmy Nazrin, 33, bekalan telur ayam yang tidak menentu menyukarkannya yang sememangnya menyediakan lauk menggunakan telur.

“Disebabkan ketiadaan bekalan telur, saya terpaksa tukar lauk lain. Jadi saya sangat-sangat berharap kekurangan bekalan telur yang dihadapi sekarang ini, dapat diselesaikan dengan segera,” katanya.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah pun mengambil keputusan mengimport telur untuk mengatasi masalah bekalan telur yang berkurangan di seluruh negara memandangkan telur ialah sumber protein utama untuk rakyat terutamanya golongan B40.