Dilema penjaja tanpa lesen di Kampung Baru

Menjelang pembentangan Belanjawan 2023, sebahagian besar penjaja sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur meletakkan harapan tinggi agar mereka dijadikan tumpuan utama dalam bajet yang akan dibentangkan Februari depan.

Hasil tinjauan Harapan Daily mendapati kebanyakan permasalahan mereka adalah berkaitan dengan lokasi perniagaan.

Mereka menjalankan perniagaan di tepi jalan sehingga menyukarkan mereka untuk mendapatkan lesen.

Meskipun bersedia untuk berpindah ke lokasi lain kerana kerajaan telah memberi komitmen untuk memperindahkan kawasan, mereka mahukan kata dua bahawa lokasi baru itu strategik dan sesuai untuk perniagaan.

Jika tidak mereka lebih rela mengekalkan perniagaan mereka di tempat sedia ada di Kampung Baru.

Siti Nur Amali

Peniaga ayam gunting Uncle Bob, Siti Nur Amali, 32, berkata, dia tidak kisah sekiranya kerajaan mahu memindahkan peniaga tepi jalan di Kampung Bharu ke suatu tempat yang lain.

Bagaimanapun kawasan itu mestilah kawasan ‘hot-spot’ yang ramai pengunjung, bukan kawasan terbiar dan jauh dari pandangan awam.

Ini kerana menurut Nur Amali, dia perlu memastikan perniagaannya dapat bertahan memandangkan banyak peniaga lain terpaksa gulung tikar gara-gara kos barangan mentah kian meningkat.

Ibu kepada tiga anak ini juga memohon agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mempermudahkan urusan para penjaja di sekitar itu untuk mendapatkan lesen perniagaan.

“Boleh terima kalau nak pindahkan kami, tapi saya harap kami dapat kawasan ‘hot spot‘. Jangan letak tempat tak strategik sebab pendapatan kami bergantung kepada pelanggan sahaja.

“Kalau boleh, kami mahukan DBKL permudah urusan kami para peniaga untuk mendapatkan lesen. Kami tak ada masalah nak bayar lesen,” katanya ketika ditemui oleh Harapan Daily.

“Selalunya bila kami nak mohon tu mereka banyak betul kerenah, segalanya jadi renyah. Macam-macam dokumen kena beri tapi lesen tak dapat juga,” tambahnya.

Henry

Perkara sama turut diutarakan peniaga beg yang hanya dikenali sebagai Henry, 33. Dia tidak kisah jika kerajaan mahu memindahkan mereka demi keindahan Kampung Baru, namun bimbang jika lokasi baru bakal mengganggu pendapatannya.

Dia yang sudah berniaga hampir hampir 25 tahun di hadapan Masjid Kampung Bharu, memberitahu bahawa dirinya sudah banyak kali ditegur DBKL berkenaan lesen dan lokasi niaga.

Malangnya dia sendiri tersepit kerana bukan mudah untuk mencari lokasi perniagaan yang sesuai.

“Saya nak minta kerajaan harap-harap boleh beri duit bantuan seperti dulu. Selain itu, permudahkanlah kami dapatkan lesen.

“Dah 25 tahun niaga di hadapan Masjid Kampung Bharu, susah dapat lesen. Saya okay kalau nak pindah, tapi, kalau boleh tak mahu pindah sebab dekat sini ramai orang datang.

“Lokasi pula depan masjid memang sentiasa ada pembeli. Kalau pindah takut pembeli tak ada pula,” kata Henry yang turut mengadu kesukaran dapatkan lesen dari DBKL.

Azrul

Peniaga air balang dan keropok lekor yang hanya mahu dikenali sebagai Azrul, 48 memberitahu bahawa kebanyakan penjaja sekitar Masjid Kampung Baru berdepan masalah sama iaitu tiada lesen kerana gerai mereka terletak di tepi jalan.

Dia tidak melihat pilihan untuk perniagaannya kerana kawasan tersebut adalah kawasan tumpuan ramai dan pelanggan juga sudah terbiasa dengan lokasi perniagaannya.

“Permudahkanlah beri lesen sebab dah banyak kali kena saman..keluarkan lesen sementara ke apa ke saya tak kisah.

“Saya setuju kalau kerajaan nak buat satu tapak nak alihkan peniaga ke tempat lain. Saya lihat dengan cara itu sahaja kita boleh naikkan perniagaan kita balik. Tapi kalau boleh sekitar sini sajalah tapak tu sebab orang dah kenal kita,” katanya.

Muhamad Khairul Ashaari

Pada masa sama, peniaga kuih muih dan air di sekitar medan selera di Kampung Bharu, Muhamad Khairul Ashaari, 35 memberitahu bahawa dia sudah putus asa dalam usaha mendapatkan lesen dari DBKL.

Dia memohon untuk mendapatkan lesen sejak tahun 2004 sehingga 2013 tetapi gagal atas alasan aktiviti niaganya mengganggu lalu lintas.

Muhamad Khairul memberitahu, pihak DBKL pernah menjanjikan lesen sekiranya dia berniaga menggunakan lori, bagaimanapun setelah lori dibeli, lesen masih juga tidak diluluskan.

Atas faktor susah mendapatkan lokasi yang lebih baik, dia nekad meneruskan perniagaan di tepi jalan tanpa lesen dan tahun ini sudah 19 tahun dia berniaga di tapak yang sama.

“Setiap tahun mohon lesen tapi dia (DBKL) kata ganggu laluan. Dulu saya pakai khemah mereka tak benarkan. Mereka kata kalau pakai lori baru dapat lesen. Bila dah beli lori, sampai berbelas tahun tak dapat lagi lesennya.

“Kami sebolehnya nak kekal di sini sebab kami dah ada nama. Pelanggan dah kenal. Kalau lokasi bagus dan pengunjung ramai, mungkin boleh pertimbang pindah.

“Tapi kalau pengunjung tak ada, tak guna juga. Pindahkanlah kami ke kawasan tasik ke atau kawasan strategik lain yang ada pengunjung,” cadangnya.

Peniaga dihimpit modal kecil, harap ada sinar bantuan dari kerajaan

Dalam permasalahan lain, peniaga pertama yang kami temui, Siti Nur Amali meluahkan rasa dilema kerana dihimpit masalah modal yang kecil di tengah-tengah kenaikan harga barangan mentah.

Kata ibu muda itu, dia sangat memerlukan bantuan kewangan dari kerajaan untuk menyokong penjaja kecil sepertinya terus bertahan dalam keadaan ekonomi meleset.

Luahnya, banyak peniaga lain terpaksa gulung tikar kerana tidak mampu menanggung kos bahan mentah yang mahal seperti ayam, sotong, minyak, tepung dan bahan-bahan lain.

Nur Amali terpaksa mengekalkan harga jualan ayam gunting sekitar RM10.50 kerana persaingan meskipun harga pasaran sudah meningkat ke RM12 hingga RM15

“Saya harap dapat sedikit bantuan kewangan dari kerajaan supaya dapat sokong penjaja kecil seperti saya.

“Kerajaan dahulu pernah bagi bantuan one-off di bawah program pembiayaan mikro sekitar RM1,000, dan harap-harap kerajaan baru ini dapat teruskan bantuan tersebut.

“Sekarang ini beli barangan mentah pun terpaksa ‘rolling‘ dari duit jualan. Untung tak dapat banyak. Nak upah pekerja pun tak mampu. Terpaksa suami tolong sekali sekala selepas dia pulang kerja,” katanya.

Harapan Nur Amali juga besar agar kerajaan mengutamakan mereka sama seperti penjawat awam yang mendapat kenaikan gaji tahunan dan bonus musim perayaan.

 

Kenaikan barangan mentah ini turut dirasai Muhamad Khairul yang menjalankan perniagaan di sekitar medan selera Kampung Bharu dengan menjual pelbagai jenis kuih muih dan air balang.

Dia mengakui terkesan apabila seguni tepung yang mempunyai 25 paket tepung di dalamnya, kini berharga RM75 di pasaran berbanding harga standard RM48.50.

Kekurangan minyak masak paket di pasar raya juga membuatkan Muhamad Khairul berdepan keadaan sukar kerana terpaksa menggunakan minyak botol yang lebih mahal.

“Bila guna minyak botol, 1kg minyak itu berharga RM6 jika dibandingkan harga minyak paket berharga RM2.50.

“Tepung pula naik kepada RM75 seguni. Telur di sekitar pasar Chow Kit pun susah dah nak dapat.

“Jadi macam mana kita nak berniaga. Saya nak jual mahal pun serba salah. Terpaksa kecilkan bentuk kuih.

“Pelanggan tetap saya nampaklah perubahan saiz kuih saya, mereka tegur juga. Tapi mereka pun faham barang mahal,” ujarnya sambil memanjangkan harapan agar harga barangan asas dikawal sebaiknya oleh kerajaan supaya tidak berlaku pencatutan harga.