Gagasan madani mampu selesaikan kemiskinan, pembangunan bersasar

Gagasan “Membangun Malaysia Madani” yang baru dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu menyelesaikan isu kemiskinan dan pembangunan yang lebih bersasar.

Menurut Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dari Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, tindakan Anwar mampu merealisasikan dasar itu asalkan kemiskinan dan pembangunan diberikan tumpuan khusus dan bukannya diloggokkan dalam satu pemahaman sempit.

Penganalisis politik itu berkata masalah kemiskinan bukan sahaja perlu dipandang dari segi pendapatan akan tetapi kemiskinan jiwa.

“Kemiskinan jiwa itu termasuklah kemiskinan penghayatan budaya dan intelektual kemiskinan akhlak dan kemiskinan hati budi. Maka ia perlu ditangani secara menyeluruh. Kemiskinan juga bukan diukur dari kaca mata statistik semata-mata akan tetapi dari kaca mata kemanusiaan,”kata beliau.

Mengambil contoh Madinah di bawah kepimpinan Nabi Muhammad SAW, beliau berkata tatakelola yang adil memberikan impak kepada sejarah dan masyarakat umat Islam di Madinah.

Katanya, dengan masyarakat yang berbilang kaum dan agama atas dasar keadilan, pendekatan hormat dan sistem nilai hidup yang manusiawi amat penting.

Justeru katanya, penghayatan madani membawa manusia, masyarakat serta kepimpinan lebih sedar akan tanggungjawab, amanah untuk melaksanakan peranan masing-masing dalam konteks masyarakat dan negara.

Semalam dalam amanatnya, Anwar berkata konsep Malaysia Madani akan kekal relevan dan dibincangkan sebagai satu iltizam dan pendekatan untuk menyelamatkan negara.