Kawal pemimpin PN salah guna kebebasan bersuara, elak ancam keharmonian kaum
Kebebasan suara yang disalahgunakan oleh pemimpin dan penyokong Perikatan Nasional (PN) perlu dikawal kerana ia boleh mengancam keharmonian dan kesejahteraan kehidupan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Ahmad Faiq Ariff berkata anak-anak muda kini sudah mula sedar dan ‘muak’ dengan politik kotor yang dimainkan oleh PN.
Sebaliknya, mereka mahukan sebuah kerajaan yang stabil dan cekap terutamanya dalam aspek integriti dan ekonomi.
“‘Kebebasan bersuara yang diapikan oleh PN perlu dikawal kerana boleh mengancam keharmonian dan kesejahteraan kaum.
“Kita tiada masalah dengan kebebasan bersuara, ketika berkempen semua parti mempunyai cara untuk menarik hati pengundi tetapi janganlah sampai membawa budaya politik fitnah sehingga memecah keharmonian kaum,” katanya kepada Harapan Daily di sini pada Jumaat.
Ahmad Faiq yang juga Ketua AMK Pasir Salak berkata kestabilan politik perlu dikekalkan kerana ia selaras dengan aspirasi rakyat terutamanya golongan muda.
“Sejak peristiwa Langkah Sheraton pengundi terutamanya golongan muda begitu muak dengan permainan ahli politik yang tidak bermaruah dan berakhlak
“Majoriti pengundi muda kini memerhati prestasi Kerajaan Perpaduan terutamanya isu-isu melawan korupsi dan prestasi ekonomi negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Faiq mengakui perang maya dieksploitasikan oleh PN terhadap Pakatan Harapan (PH) telah berjaya memberi kesan kepada mood pengundi muda dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Walaupun peratusan keluar mengundi golongan muda pada PRU-15 amat memberangsangkan, sentimen agama dan perkauman yang dimainkan oleh PN dalam media sosial jelas mempengaruhi pendirian mereka,” katanya.
BACA JUGA: Kerajaan Perpaduan perlu memikat hati pengundi muda