Majlis Penasihat Pendidikan tumpu selesai isu beban tugas guru – KPM

Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) akan memberikan tumpuan kepada usaha menyelesaikan isu bebanan tugas guru, kata Kementerian Pendidikan (KPM).

Kementerian dalam kenyataan berkata majlis tersebut akan memperhalusi perkara itu sebelum mengemukakan cadangan penyelesaian untuk dipertimbangkan pihak Menteri Pendidikan.

Terdahulu kenyataan itu mengumumkan pelantikan bekas Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Amin Senin sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi sesi 2023-2025.

Selain itu, lapan lagi tokoh dan individu yang terdiri daripada pelbagai bidang dan latar belakang kepakaran sebagai anggota majlis penasihat itu.

Mereka adalah Prof. Datuk Dr Mohamad Fauzan Noordin, Prof. Dr Omar Yaakob, Datuk Dr Mehander Singh Nahar Singh dan Prof. Datuk Dr Inayah Ya’akub.

Turut dilantik Mohd Abd Aziz Mahmud, Aminuddin Awang, Rusilawati Mohd Salleh dan Chee Poh Kiem.

Penyampaian watikah pelantikan anggota majlis itu disempurnakan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di Putrajaya semalam.

Hadir sama timbalannya Lim Hui Ying, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Pkharuddin Ghazali dan Timbalan Ketua Setiausaha kementerian (Pengurusan), Ramzi Mansor.

Kementerian dalam kenyataan berkata pengalaman luas Amin dengan dibantu oleh lapan orang anggota MPPK diyakini dapat mengemukakan idea bernas ke arah pembaharuan, kesepaduan dan pendemokrasian pendidikan.

“Isu bebanan tugas guru adalah antara perkara yang akan menjadi tumpuan utama MPPK untuk diperhalusi sebelum cadangan penyelesaian terbaik bagi menangani isu tersebut dikemukakan kepada menteri untuk dipertimbangkan,” kata kenyataan itu di sini pada Jumaat.

Fadhlina menyerahkan watikah pelantikan kepada Amin sebagai Pengerusi MPPK di Putrajaya pada 19 Januari 2023. Foto KPM

Kata kenyataan itu, MPPK berperanan untuk menasihati Menteri Pendidikan berhubung sebarang isu pendidikan yang dirujuk kepada majlis itu dengan mengemukakan syor berkaitan bagi pertimbangan pihak kementerian.

“KPM berazam untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan dan sentiasa terbuka dalam menerima cadangan dan pandangan bagi menjadikan sistem pendidikan Malaysia bertaraf dunia daripada segi kualiti untuk memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan mencapai aspirasi negara,” katanya.

BACA JUGA: KPM akan tambah baik proses pembayaran wang bantuan awal persekolahan