Malaysia Madani alternatif baru kemudi negeri Kedah
Konsep madani yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan merupakan alternatif baru yang diperlukan oleh rakyat Kedah bagi mengemudi negeri itu menjadi lebih baik, kata Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani berkata konsep madani relevan sebagai satu pendekatan menyelamatkan Kedah daripada terus dirosakkan dengan ketaksuban politik kebencian pakatan pembangkang, Perikatan Nasional.
“Dengan adanya Malaysia Madani ini yang merangkul kesemua aspek telah memberikan alternatif yang sangat diperlukan rakyat, khususnya di negeri Kedah. Bagi saya ia akan meredakan suhu politik di sebelah utara yang penuh dengan ekstremisme,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.
Tambahnya, konsep madani itu sendiri akan memberikan manfaat terbanyak buat semua rakyat daripada sudut ekonomi iaitu dengan pembasmian kemiskinan, penstrukturan semula ekonomi dan pemulihan serta penjanaan ekonomi.
Katanya, pimpinan Kerajaan Perpaduan juga perlu menterjemah keberkesanan konsep Malaysia Madani dalam dasar kerajaan ke arah kestabilan politik dan memastikan pertumbuhan ekonomi untuk kepentingan rakyat dan negara.
“Malaysia Madani dapat diaplikasikan secara lebih profesional oleh kabinet supaya ia dapat ditakrifkan secara praktikal dan boleh dinikmati oleh rakyat keseluruhan. Selain itu, kita boleh melahirkan pemimpin yang bersih, adil dan juga boleh memartabatkan bangsa dan agama,” katanya.
Ujarnya, selepas berdekad lamanya pemerintahan politik ‘upper class’ (politik kelas atasan) di Kedah yang tidak mementingkan kepentingan rakyat marhaen, Madani Malaysia ini akan menjadi satu pemerintahan yang lebih telus dan bersih.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan Malaysia Madani sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
Madani itu diacu berteraskan enam tonggak iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.