Malaysia Madani: Menteri harap anak muda bersatu hati
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu menyatakan harapan agar anak muda di Malaysia bersatu hati dan bekerja keras untuk menjayakan visi baru negara ini, iaitu Malaysia Madani.
Mohamad antara menteri Kabinet yang hadir semalam menyaksikan ucapan Amanat Perdana Menteri berkenaan Membangun Malaysia Madani.
Ketika majlis peluncuran Malaysia Madani, Presiden AMANAH itu meluahkan rasa terharu dengan semangat ditunjukkan anak-anak muda yang hadir dalam majlis berkenaan.
“Semalam ketika majlis peluncuran Malaysia Madani ramai anak muda datang menyapa saya.
“Saya amat terharu dan tersentuh dengan semangat dan iltizam yang ditunjukkan oleh mereka untuk bersama-sama memajukan negara.
“Harapan saya untuk semua anak muda di Malaysia, ayuh kita bersatu hati dan bekerja keras untuk menjayakan visi baru negara ini.
“Masa hadapan negara ini adalah tanggungjawab kita bersama. Kita boleh!,” katanya dalam satu hantaran ringkas di Facebook.
Konsep Malaysia Madani diperkenalkan bagi menggantikan slogan Keluarga Malaysia yang digunapakai Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini
Merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pusaka (DBP), madani membawa maksud maju dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan.
Enam intisari kerangka dasar MADANI termasuklah; Kemampanan, Kesejahteraan, Daya cipta, Hormat, Keyakinan, dan Ihsan.
Â