Pemberian khas untuk Sarawak dinaikkan kepada RM300 juta – PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menaikkan pemberian khas kepada RM300 juta untuk Sarawak berdasar peruntukan dalam Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri berkata jumlah itu adalah pembayaran peringkat awal sebelum satu formula khusus diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.

Beliau berkata prinsip pemberian itu diputuskan oleh pemimpin terdahulu yang melihat kedudukan Sabah dan Sarawak semasa pembentukan Malaysia yang dilihat lebih mundur ketika itu.

“Sebelum ini, Sarawak hanya diberi RM16 juta… tentunya saya selaku Menteri Kewangan berpendapat ini satu jumlah yang tidak munasabah.

“(Tetapi) untuk beri terlalu tinggi pun tidak mampu kerana dalam 112D menyebut pembayaran itu tertakluk kepada keupayaan kewangan Kerajaan Persekutuan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pelaksanaan Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kuching pada Jumaat.

Mesyuarat itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan beberapa menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelantikan Setiausaha Kewangan Sarawak Datuk Seri Dr Wan Lizozman Wan Omar sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkuat kuasa hari ini.

“Permohonan ini telah diminta (oleh kerajaan Sarawak) sudah lama dan saya berpendapat ini tiada masalah.

“Yang penting syaratnya (untuk lantikan ini ialah) mereka mesti profesional dan mempunyai pengalaman dan tentunya (Wan Lizozman) punyai kelayakan dan ini boleh membantu LHDN,” kata beliau.

Perdana Menteri turut mengumumkan pengecualian cukai bagi pemberian bonus kepada semua pegawai perkhidmatan awam di semua negeri.

“Sekarang ini bonus diberikan kerajaan negeri tertakluk kepada cukai, tetapi atas permintaan Abang Johari dan saya rasa ia munasabah, bonus akan dikecualikan dari cukai dan ini terpakai untuk semua pegawai perkhidmatan awam di semua negeri,” kata beliau. – BERNAMA

BACA JUGA: Pentadbiran Anwar tidak berhajat bina menara tinggi