PH pun boleh jaga Islam

Kedudukan Islam dan institusi Islam di negara ini mempunyai kedudukan terjamin di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun pembangkang sering memomokkan bahawa agama Islam terancam, kata Ketua AMK Selangor, Izuan Kasim.

“Dibawah pimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim, benda pertama yang perlu untuk kita jaga ialah institusi agama. Bukan dorang sahaja yang boleh jaga agama (institusi agama), kita pun boleh jaga agama tanpa perlu menakut-nakutkan agama lain,” ujarnya ketika dihubungi Harapan Daily pagi tadi.

Dakwaan ini dibuat berikutan momokkan yang sering dilemparkan oleh Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara akan terancam, jika Pakatan Harapan (PH) kembali menjadi kerajaan.

Dakwaan itu dibuat meskipun kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dijamin di bawah perlembagaan persekutuan.

Izuan juga menambah, trend gelombang hijau bersifat sementara, berdasarkan gelombang tsunami yang berlaku dalam dua pilihanraya umum yang lepas.

“Kita kena sedia maklum yang gelombang ini sifatnya bukan selama-lamanya. Jika kita lihat gelombang keputusan PRU13 dan PRU14, gelombang tsunami berpihak pada kita. Jadi saya tak rasalah gelombang hijau ini akan berlaku lagi,” tambah beliau.

Perkara ini juga dibangkitkan oleh Pengarah Pilihan Raya PKR Rafizi Ramli yang menjangkakan gelombang hijau tidak mampu menembusi Selangor ketika berucap di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) pada Sabtu lepas.

Beliau juga menggesa agar kerjasama pimpinan parti di antara PH-BN diperhalusi menjelang PRN nanti.

“Untuk peringkat pimpinan parti (kerjasama PH-BN) saya fikir, kita sudah boleh berbincang dari segi strategi politik, sama ada kita bertanding menggunakan satu lambang ataupun ‘electoral pact’ jadi peringkat pimpinan perlu membuatnya dari awal,” tegasnya.

PKR Selangor yakin bahawa majoriti kerusi di DUN Selangor akan kekal di tangan Pakatan Harapan.