PN pertikai Malaysia Madani, tak sudah bangkit isu KWSP
Perikatan Nasional (PN) dilihat tidak habis-habis menjadikan tuntutan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai modal politik dalam mempertikai gagasan Malaysia Madani.
Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menganggap kerangka dasar baharu untuk negara itu sebagai compang-camping.
“Ada hit and misses di situ dalam gagasan terbaru kerajaan. Compang-camping idea madani dibuatnya,” bebel Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu itu.
Ahli Parlimen Machang berkenaan malah, jelasnya, akan ‘bersyarah’ mengenai konsep masyarakat madani mengikut kaca mata tokoh ilmuwan Syed Muhammad Naquib al-Attas di Dewan Rakyat bulan hadapan semasa perbahasan Titah Diraja.
Semalam, dalam satu hantaran lain di Facebook, Fayhsal menulis, “Trending acronyms: 1. MADANI ✅ 2. KWSP ❌
Kecenderungan pimpinan muda itu mencanangkan kembali tuntutan pengeluaran KWSP dengan mempersoal gagasan Malaysia Madani hanya mencerminkan kedangkalan politik PN.
Alasan menuntut pengeluaran KWSP bagi mengatasi masalah rakyat yang terputus wang tunai dilihat sudah tidak relevan memandangkan negara pada masa ini bukan berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sejak akhir tahun 2021 lagi, lebih banyak peluang pekerjaan kembali tersedia seperti didedahkan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menerusi Indeks Sentimen Pengguna (CSI).
Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah menegaskan bahawa kerajaan perlu mempertimbangkan nasib dan masa depan pencarum sebelum membenarkan pengeluaran sekali lagi simpanan daripada KWSP.
Menteri Kewangan itu berkata, adalah lebih baik kerajaan mencari jalan dan kaedah lain yang lebih berkesan dalam membantu rakyat yang terjejas akibat kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 dan pelaksanaan siri PKP.
Sejak kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi, PN terdesak untuk memancing undi dengan memperalatkan wang rakyat apabila bersedia melaksanakan penilaian semula pengeluaran KWSP secara bersasar, jika berjaya membentuk kerajaan.
Tindakan Fayhsal membangkitkan kembali isu pengeluaran KWSP akhirnya menggambarkan PN yang terdesak dalam bermain politik bukannya rakyat ketika ekonomi semakin bertambah baik.
Mujurlah PN gagal ke Putrajaya kerana pengeluaran caruman KWSP secara berterusan yang hanya bersifat ‘one-off’ itu hanya akan menjerumuskan lebih ramai lagi rakyat ke kancah kepapaan pada usia persaraan kelak.
Sekarang, gagasan Malaysia Madani dengan penegasan konsisten Perdana Menteri Anwar terhadap aspek tata kelola dan kebertanggungjawaban dilihat akan menyelamatkan segenap lapisan rakyat dan negara untuk jangka panjang.
Malaysia Madani yang menekankan kepada pemerkasaan ekonomi dan budaya, yang berteraskan nilai, etika dan akhlak akan memastikan keadilan sosial tercapai tanpa terus merengek mahu habiskan wang persaraan.
Justeru, PN yang mempunyai jumlah kerusi Dewan Rakyat kedua terbanyak selepas Pakatan Harapan (PH) tetapi memilih mahu bergelar pembangkang perlu menjadi blok oposisi lebih matang dalam berperanan sebagai semak dan imbang yang bermanfaat kepada rakyat.
Baca juga Kekal OPR: Rakyat puji PM Anwar, penyokong PN ditempelak hipokrit