Gangguan capaian sistem e-pharmacist KKM akan diatasi

Gangguan sistem e-Pharmacist bagi pemilihan penempatan latihan siswazah bagi Pegawai Farmasi Gred UF41 yang mula dibuka pada 19 Januari 2023 akan diatasi segera.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menerima aduan daripada calon yang memohon telah mengarahkan tindakan diambil bagi mengenal pasti isu gangguan teknikal berkenaan.

“Terdapat isu calon tidak dapat mengakses ke sistem pada waktu yang ditetapkan. Keadaan ini menyebabkan calon lewat atau tidak dapat memilih penempatan latihan siswazah lebih awal,” kata kenyataan KKM.

Selain itu, laporan diterima berkenaan isu capaian ke sistem yang perlahan (lagging) yang menyebabkan calon terpaksa menunggu lama untuk melengkapkan proses pemilihan penempatan

Juga terdapat calon yang berjaya memilih penempatan di suatu fasiliti melebihi had slot latihan siswazah yang ditetapkan.
KKM difahamkan bahawa seramai 627 calon ditawarkan pelantikan dan mereka perlu memilih penempatan latihan siswazah pada sesi kali ini.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi menangani situasi tersebut secara berhemah dan berlaku adil kepada calon yang memohon, sistem e-Pharmacist telah ditutup bagi memberi ruang kepada pasukan teknikal ICT KKM menilai dan menangani gangguan teknikal tersebut.

“KKM akan membuka semula sistem e-Pharmacist pada tarikh baharu iaitu pada 30 Januari 2023 jam 12.00 tengah hari hingga 1 Februari 2023. Tarikh melapor diri bagi mengikuti Program Transformasi Minda (PTM) masih dikekalkan pada 13 Februari 2023.

“Justeru, KKM menyeru agar semua calon yang terlibat dapat bersabar dan mengakses semula sistem ini pada tarikh yang ditetapkan,” kata kenyataan tersebut.

BACA LAGI Salahuddin sedia perhalusi isu pemain industri kreatif