Tangguhkan dulu projek KXP, utamakan LTAPP

Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) wajar ditangguhkan terlebih dahulu sebaliknya keutamaan perlu diberi kepada pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, pembesaran LTAPP lebih relevan kerana kosnya yang lebih rendah serta lokasinya yang strategik memandangkan ia berdekatan dengan pelabuhan antarabangsa Pulau Pinang serta hab perindustrian Batu Kawan dan Bayan Lepas serta LTAPP.

Menurutnya, LTAPP kini mengalami lebihan kapasiti yang teruk setelah menerima 8 juta penumpang setahun walaupun kapasitinya hanya sesuai untuk menampung 6.5 juta penumpang dan ia harus lebih diutamakan daripada KXP.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disebut-sebut cuba merayu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar pembinaan KXP di Mukim Sidam Kiri, Kuala Muda yang merupakan sebahagian pembangunan projek Kedah Aerotropolis diteruskan.

Beliau dikatakan memberikan satu nota kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis pelancaran Malaysia Madani di Putrajaya baru-baru ini.

Sanusi Md Nor

KXP dengan fasa pertamanya mencecah RM6 bilion itu pada masa ini hanya menjadi projek sakit ekoran pelbagai masalah yang belum dapat diselesaikan.

Projek lapangan terbang antarabangsa baharu itu telah dirancang semasa Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjadi menteri besar dan disambung oleh Sanusi.

Bagaimanapun, KXP masih tertangguh setelah tiada syarikat baru dilantik bagi melaksanakan projek mega terbabit ekoran penarikan diri ECK Development Sdn Bhd.

Malah, projek lapangan terbang itu masih menjadi kontroversi kerana dibimbangi memberi impak jangka masa panjang terhadap alam sekitar kerana terlalu hampir dengan sepanjang tebing Sungai Muda.

Ia didakwa boleh mengganggu kelestarian Sungai Muda yang menjadi sumber air mentah utama untuk Pulau Pinang dan selatan Kedah.

Baca juga Selepas import, akhirnya bekalan ayam, telur akan cukup

Â