Anwar turun bertanya khabar orang Permatang Pauh

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turun bertanyakan khabar rakyat di Permatang Pauh, Pulau Pinang hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan minum petang bersama masyarakat tempatan di Bandar Perda, Bukit Mertajam seusai majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina di Bayan Lepas.

“Saya singgung mengenai Permatang Pauh yang ternyata dekat di hati saya, meski saya pernah berkelana ke (Parlimen) Port Dickson dan kini di Tambun.

“Permatang Pauh adalah asas kekuatan yang menunjangi perjuangan yang penuh liku ini,” kata bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu.

Anwar dan Permatang Pauh adalah sinonim dalam politik pilihan raya tanah air dengan penguasaan legasinya selama 40 tahun bermula 1982.

Walau bagaimanapun, kubu kuat PKR itu diterobos Pas yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Pakatan Harapan (PH) diwakili anak Anwar yang pernah digelar Puteri Reformasi iaitu Nurul Izzah, kalah kepada calon PN, Muhammad Fawwaz Mat Jan dengan majoriti 5,272 undi.

Sehubungan itu, Anwar menegaskan bahawa apa yang penting untuk dilakukan pada masa ini adalah bekerja sebaik mungkin agar negara dan masyarakatnya terbela.

“Saya yakin kita akan kembali menawan Permatang Pauh dengan gelombang dukungan massa yang lebih kuat selepas ini, inshaAllah,” tambahnya lagi.

Baca juga ‘Sedekah’ bertukar rasuah jika untuk undi