Malaysia Madani: 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedia mengkaji semula Dasar Perumahan Negara berdasarkan kerangka dasar MADANI supaya dapat diterjemahkan kepada nilai kesejahteraan dan keseimbangan untuk seluruh rakyat Malaysia.

KPKT, dalam satu kenyataan hari ini, berkata menerusi dasar tersebut, lebih ramai lagi rakyat terutama golongan B40 akan dapat memiliki kediaman menjelang tahun 2025 dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Melalui pembangunan dasar perumahan baharu dan perancangan yang lebih teratur, KPKT percaya sasaran untuk penyediaan 500,000 rumah mampu milik menjelang tahun 2025 akan berjaya melalui kerjasama semua agensi perumahan di peringkat Persekutuan, negeri dan pemaju swasta.

“KPKT sedang mengkaji dasar perumahan negara bagi melihat sektor perumahan secara menyeluruh khususnya dalam meningkatkan pelaksanaan rumah mampu milik dan penyediaan perumahan awam,” jelasnya.

Tambahnya, KPKT turut bersedia untuk mengkaji inisiatif sedia ada termasuk mencari peluang insentif baharu sebagai pemudah cara berkaitan prosedur kelulusan supaya keterlibatan pemaju perumahan swasta dapat diperluas secara aktif bagi menyediakan perumahan mampu milik yang berkualiti dan selesa untuk rakyat.

Menurut kenyataan itu lagi, KPKT akan meneliti beberapa contoh dasar perumahan negara serantau yang berjaya dilaksanakan seperti di Singapura.

“KPKT akan melihat beberapa contoh dasar perumahan negara-negara lain termasuk negara jiran seperti Singapura terutamanya dalam perumahan awam dan mampu milik berdasarkan kejayaan Singapura dalam penyediaan perumahan awam atau sosial untuk 80 peratus rakyat Singapura yang layak dan memerlukan tanpa mengira bangsa.

“Ini membolehkan Dasar Perumahan Negara yang baharu kelak mengambil kira pelbagai keperluan rakyat mengikut acuan budaya, adat resam, agama dan berbilang kaum di Malaysia,” katanya.

Oleh itu, tambahnya, KPKT bercadang untuk mengadakan sesi perkongsian ilmu bersama pakar perumahan dari Singapura bagi mengukuhkan strategi pembangunan perumahan negara berpaksikan kerangka dasar madani yang menerapkan nilai kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Baca juga Jangan jadi menteri kalau mahu kaya