Menyambut usaha mewujudkan Malaysia Madani

Pelbagai reaksi timbul apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan gagasan Malaysia Madani, ada yang menyambutnya secara positif.

Tidak kurang pula yang menunjukkan sikap negatif dengan mengeluarkan kata-kata sinis. Kebanyakan orang mengambil sikap tidak mengambil peduli.

Mereka yang menyambut Malaysia Madani secara positif ada tiga jenis. Pertama mereka yang sentiasa bersikap positif terhadap apa saja gagasan yang dikemukakan oleh pihak berkuasa, tidak kira dari kerajaan apa.

Orang seperti ini akan berusaha melihat manfaat dari apa saja gagasan yang dikemukakan dengan mengetepikan sebarang perkara buruk.

Golongan kedua yang bersikap positif terhadap gagasan Malaysia Madani ialah mereka yang menjadi penyokong Kerajaan Perpaduan. Mereka ini mempercayai kepimpinan kerajaan.

Maka apa saja yang dikemukakan oleh kerajaan diterima dengan baik. Mereka percaya bahawa apa yang dikemukakan oleh kerajaan adalah suatu yang bermanfaat bagi rakyat dan negara, termasuklah gagasan Malaysia Madani.

Sementara golongan ketiga yang bersikap positif terhadap gagasan Malaysia Madani ialah mereka yang faham mengenai konsep “madani” ini sendiri.

Sebahagian daripada golongan ini lebih berusia yang pernah melalui tahun-tahun 1990-an ketika istilah “masyarakat madani” mula dikemukakan dalam perbincangan umum khususnya di kalangan mereka yang terpelajar dan berminat terhadap hal-hal intelektual.

Istilah “masyarakat madani” muncul pada tahun 1995. Ia dibincangkan oleh institusi-institusi ilmu dan badan-badan dakwah. Bukan saja di Malaysia tetapi di Indonesia.

Ketika itu Datuk Seri Anwar adalah Timbalan Perdana Menteri. Beliau yang mula menggunakan istilah ini dan menyebutnya dalam ucapan-ucapannya. Malah beliau kelihatannya menjadikan “masyarakat madani” sebagai cita-cita perjuangannya.

Masyarakat madani ketika itu dilihat sebagai terjemahan kepada civil society atau masyarakat sivil. Tetapi terdapat banyak versi konsep ini.

Antaranya ialah suatu masyarakat yang meliputi ciri-ciri penglibatan kerjasama antara institusi-institusi sosial dan badan-badan bukan kerajaan untuk kebaikan bersama dengan memikul tanggungjawab moral. Matlamatnya adalah untuk mewujudkan masyarakat beradab dan bertamadun.

Apabila disebut masyarakat madani pula, ia turut mengandungi nilai-nilai Islam dengan juga melibatkan institusi masjid dan badan dakwah. Ia juga bererti membina tamadun Islam dalam konteks abad ke-21.

Konsep masyarakat madani ini hilang begitu saja apabila Datuk Seri Anwar tidak lagi berada dalam kerajaan. Ini kerana tumpuannya adalah pada gerakan Reformasi bagi mengubah, memperbaiki dan memperbaharui institusi-institusi negara.

Kini beliau berkuasa walaupun sebagai peneraju Kerajaan Perpaduan. Maka tidak hairanlah konsep masyarakat madani dikemukakan lagi walaupun kini ia berbentuk Malaysia Madani. Gagasan Malaysia Madani berbeza daripada masyarakat madani kerana ia lebih spesifik.

Program untuk menjayakan Malaysia Madani adalah luas dan terperinci dengan meletakkan tiga keutamaan iaitu pertama, membasmi kemiskinan. Kedua, penstrukturan semula ekonomi; dan ketiga, memulih dan menjana ekonomi.

Tentulah keutamaan-keutamaan ini boleh ditafsirkan dengan pelbagai cara. Tetapi tafsiran rasmi tentulah datang dari kerajaan yang merupakan hasil mesyuarat para pegawainya.

Sementara mereka yang bersikap negatif terhadap gagasan Malaysia Madani pula boleh dilihat dalam bentuk tiga golongan.

Golongan pertama adalah mereka yang melihat semua perkara dari sudut negatif. Tidak kiralah kerajaan apa yang memerintah. mereka akan membantah. Mereka ini pembangkang sepanjang zaman.

Bukan saja mereka membantah tetapi mentertawakan apa saja gagasan. Bila bercakap, mereka akan mengatakannya secara sinis. Mereka tidak menghargai usaha orang dan tidak menghormati sesiapa. Perhatiannya adalah untuk mencari silap atau salah.

Maka terhadap gagasan Malaysia Madani, mereka hanya menganggapnya sebagai slogan. Mereka tidak melihatnya sebagai usaha, semangat dan program untuk memperbaiki rakyat dan negara.

Mereka menyamakan Malaysia Madani seperti slogan-slogan kerajaan dahulu seperti Keluarga Malaysia, Malaysia Prihatin, Malaysia Baharu, Satu Malaysia, Islam Hadhari dan Wawasan 2020 yang semuanya dianggap gagal, dan begitulah nasib Malaysia Madani kelak.

Ada di kalangan mereka pula menyifatkan Malaysia Madani ini adalah idea lama dan lapuk yang mana ia menunjukkan kerajaan tidak ada imaginasi.

Sementara itu ada pula yang menimbulkan soalan berkaitan akronim gagasan Malaysia Madani.

Hakikatnya Malaysia Madani ini bukan slogan. Ia merupakan gagasan yang mempunyai program.

Ia mampu dijayakan jika banyak orang menyambutnya dengan baik, bukan saja oleh jentera kerajaan dan penyokong-penyokong Kerajaan Perpaduan tetapi juga kebanyakan rakyat yang wajar turut menyumbang bagi menjayakannya.

Semangat Malaysia Madani adalah penglibatan rakyat, kerjasama dan mengelak konfrontasi. Tetapi jika tidak ada kerjasama semua rakyat, sudah tentu ia akan menemui kegagalan.

Seseorang boleh terus menjadi negatif terhadap apa saja yang kerajaan lakukan. Jika ramai yang bersikap negatif, maka apa pun usaha akan gagal. Tidak kiralah kerajaan apa pun. Maka yang rugi adalah rakyat sendiri dan negara tidak akan maju.

Ada yang menyatakan bahawa tidak perlulah slogan atau gagasan baharu. Cukuplah memerintah dengan mengatasi masalah-masalah yang ada. Ini kerana dengan slogan dan gagasan baharu ini, tumpuan penuh tidak dapat diberikan.

Slogan adalah satu alat politik. Menurut amalan komunikasi politik, slogan boleh menyatukan fikiran dan semangat rakyat. Slogan bukanlah suatu yang buruk. Apa yang buruk ialah slogan kosong. Atau slogan yang boleh mengelabui mata rakyat.

Tetapi kalau slogan yang berisi, iaitu mempunyai program, maka ia bukanlah suatu yang buruk. Maka Malaysia Madani adalah suatu gagasan yang baik.

Sememangnya boleh saja seseorang memerintah dengan menyelesaikan masalah yang ada tanpa mengemukakan slogan atau gagasan. Tetapi itu bukannya memerintah, itu hanya mentadbir.

Bagi sesebuah negara yang hendak berubah dan maju ke depan, ia memerlukan gagasan. Ditambah pula ada isu-isu besar yang perlu diselesaikan melalui gagasan, tidak cukup dengan urusan pentadbiran.

Umpamanya isu perpaduan. Ada suatu kerangka untuk menyelesaikannya, dan bukan sekadar menggubal dasar pada peringkat pentadbiran. Kerangka ini membolehkan negara mempunyai hala tuju.

Bagi menjayakan sesuatu gagasan, ia memerlukan slogan supaya minda rakyat dapat diajak untuk memahami dan mendokong gagasan itu. Sementara akronim dalam apa jua bentuk adalah usaha untuk mengingat semangat Masyarakat Madani itu.

Sementara itu, golongan kedua yang bersifat negatif terhadap gagasan ini ialah pembenci Kerajaan Perpaduan. Mereka tidak mempunyai kepercayaan terhadap kerajaan.

Oleh itu apa saja inisiatif yang dilakukan oleh Kerajaan Perpaduan akan ditolak walaupun baik termasuklah gagasan Malaysia Madani.

Kalau berhujah, mereka akan tetap sentiasa menolaknya. Ini kerana mereka bukan mencari kebenaran tetapi hanya mahu menolak Kerajaan Perpaduan.

Tetapi ada juga penyokong-penyokong Kerajaan Perpaduan yang mempersoalkan gagasan Malaysia Madani. Mereka ini mempunyai pendapat sendiri terhadapnya. Ini adalah suatu kritikan normal.

Sudah tentu ada perbezaan pendapat dalam apa jua perkara tetapi Kerajaan Perpaduan wajar diberi ruang untuk melaksanakan agenda dan aspirasinya. Kalau segala usaha dan ikhtiar dikritik. maka tidak ada rancangan yang boleh dilaksanakan.

Kalau seseorang tidak boleh menyumbang kepada usaha-usaha kerajaan, usahlah menghalang. Jika seseorang tidak boleh memberi kata-kata membina, tidak usah melontar kata-kata meruntuh.

Cabaran yang dihadapi oleh gagasan ini selepas difahami ialah pelaksanaannya. Satu penggal adalah suatu jangka waktu pendek

Kalau ia berjaya, maka ia adalah suatu pencapaian. Kalau gagal, ia adalah suatu ikhtiar tetapi pada peringkat permulaan ini gagasan Malaysia Madani perlukan dokongan rakyat.