‘Sedekah’ PN tidak kena waktu
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, mempersoalkan bagaimana ‘sedekah’ boleh diberikan kepada pengundi di Terengganu dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Ini berikutan kenyataan yang dibuat oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa ‘sedekah’ dibenarkan semasa PRU15 secara jelas membuktikan amalan politik wang oleh Perikatan Nasional (PN).
Raja Kamarul mempertikaikan pemberian ‘sedekah’ yang telah diberikan pada bulan November yang tidak bertepatan dengan waktu musim banjir dan pembukaan persekolahan.
“Kenapakah ‘sedekah’ berlaku di luar musim buka sekolah dan sebelum musim banjir berlaku? Apakah ‘niat’ sebenar ‘sedekah’ di luar musim ini?
“Mengapakah pihak-pihak berkenaan (PN) berilham dan memilih untuk bermurah hati untuk ‘bersedekah’ pada bulan November semasa kempen pilihan raya?” soalnya dalam satu kenyataan.
Lebih mengejutkan, jelas bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, Abdul Hadi cuba berselindung di sebalik agama agar perbuatan tersebut dilihat suci dan bersih.
“Yang memeranjatkan juga adalah kenyataan Presiden Pas yang menyebut, tiada salahnya memberi wang ‘sedekah’ semasa tempoh kempen PRU15.
“Walaupun ‘sedekah’ wang tersebut tidak salah dari sudut undang-undang dunia sekalipun, bukankah ia salah secara sudut moral apakan lagi dari nilai murni Islam,” kata Raja Bahrin.
Terdahulu, Setiausaha Agung PN, Datuk Hamzah Zainudin mempertahankan pemberian wang ketika pilihan raya kerana tindakan itu bergantung kepada ‘niat’ pemberi.
Mengulas lanjut, Raja Bahrin berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan perlu dilibatkan untuk menentukan kenyataan ‘sedekah’ dan ‘niat’ yang telah dinyatakan oleh kedua-dua pemimpin PN itu.
“Kalau Hadi menyifatkan pemberian ‘sedekah’ dan Hamzah pula mengatakan ia bergantung pada ‘niat’, nampaknya logik yang agak tersasar ini bergantung pada ‘niat sedekah’ yang hanya Majlis Fatwa kebangsaan boleh menentukan.
“Takkanlah Majlis Fatwa Kebangsaan perlu bertugas setiap pilihan raya,” ujarnya.
Beliau turut mempersoalkan bahawa sogokan yang begitu meluas boleh berlaku di Terengganu pada PRU15 sedangkan kerajaan PN sebelum ini mendakwa mereka sebagai kerajaan yang bersih, sempurna dan seolah-olah maksum.
Baca juga Hadi fatwakan rasuah pilihan raya halal?
Â