‘Sedekah’ semasa pilihan raya bercanggah dengan SPRM

Dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa duit yang diberi semasa pilihan raya sebagai ‘sedekah’ adalah bercanggah dengan penafsiran suapan dalam Seksyen 3 Akta SPRM 2009.

Akta tersebut, kata Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Faiz Fadzil juga menyebut tentang perlakuan derma bahawa ia adalah satu bentuk rasuah.

Malah ujarnya, dalil Pas seolah-olah cuba berselindung di sebalik bahasa Arab untuk mewajarkan perbuatan memberi wang ketika pilihan raya bukan satu perbuatan rasuah memperlihatkan pemikiran Pas semakin bercelaru dan menyimpang dari syariat Islam yang sebenar.

“Ironinya, Presiden Pas mendakwa sedekah bukan kesalahan pilihan raya sedangkan wang undi tersebut diberikan ketika tempoh pilihan raya sedang berjalan.

Abdul Hadi Awang

“Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya menyatakan perbuatan menyogok untuk mendapatkan undi adalah satu kesalahan pilihan raya dan boleh menyebabkan keputusan pilihan raya itu terbatal,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga Adun Permatang Pasir berkata, SPRM mahu pun polis perlu menyiasat tujuan pemberian sedekah ketika pilihan raya walaupun Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendakwa bahawa pemberian wang itu bergantung kepada niat.

Menurut Faiz, dalam undang-undang niat bukan dinilai dari mulut pemberi, tetapi daripada bukti keadaan yang berdasarkan kepada tempat, masa dan tujuan.

Kelmarin, Abdul Hadi pada sidang media mempertahankan agihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Ahli Parlimen Marang tersebut berkata, pemberian itu adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.

Reaksi Abdul Hadi itu apabila diminta mengulas langkah Umno Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi mencabar keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman, yang dimenangi calon Pas.

Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mendakwa Pas merasuah pengundi di ketiga-tiga Parlimen terbabit sepanjang tempoh kempen PRU15.

Sementara itu, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang pula berkata, pemberian wang semasa kempen pilihan raya adalah bergantung kepada niat dan tujuan individu.

Ahli Parlimen Larut itu berpendapat punca duit itu patut difokuskan bukannya pemberian duit semasa kempen pilihan raya.

Mengulas lanjut, Faiz menegaskan bahawa pengakuan sedekah itu sudah cukup membuktikan bahawa wujud aktiviti pemberian wang oleh Pas kepada orang ramai.

Sehubungan itu, Adun Permatang Pasir itu menggesa siasatan yang menyeluruh dan bebas perlu dilakukan bagi menyiasat sumber wang tersebut dan tujuannya.

Tambahnya, orang ramai terutama generasi muda boleh terkeliru bahawa rasuah itu halal dan sah asalkan ianya berlapik dengan perkataan Arab iaitu sedekah.

Baca juga ‘Sedekah’ PN tidak kena waktu

Â