Isu beri pengundi duit, Pas anggap ‘budaya derma’ dah jadi darah daging

Pas Perak menganggap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘si jahil yang keliru antara rasuah dan derma’, susulan serangan Presiden Umno itu terhadap Pas berhubung pemberian wang ketika tempoh pilihan raya tahun lalu.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, menyamakan budaya sedekah dengan rasuah yang sedang dihadapi oleh pemimpin Umno itu menunjukkan kecelaruan yang membahayakan negara.

Ini kerana katanya, budaya derma telah lama menjadi darah daging dan sebati dalam perjuangan ahli parti itu.

“Suka saya tegaskan bahawa budaya derma telah menjadi darah daging dan sebati dalam perjuangan ahli Pas

“Mungkin mereka yang biasa bergelumang dengan rasuah melihat setiap pemberian itu bermaksud kepentingan diri.

“Bagi Pas dan ahlinya setiap sumbangan derma bermatlamat akhirat dan rasuah adalah sesuatu yang keji di dalam Islam,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Razman juga memberi contoh bahawa Pas Perak kini sedang menggerakkan usaha membangunkan kompleks sendiri di atas tanah seluas 1.62 hektar hasil infak dan derma yang digerakkan melalui kutipan di kawasan-kawasan Pas.

Tambahnya lagi, semua aktiviti Pas yang dijalankan adalah hasil derma oleh ahli dan rakyat yang menyokong parti itu sehingga ia dikenali dengan nama ‘parti tin Milo’.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Beliau berkata, mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh memberikan wang, tetapi jika orang awam mahu bersedekah, ia terpulang kepada individu itu.

Susulan itu media melaporkan, Ahmad Zahid menempelak kenyataan tersebut dengan mengatakan sebagai ulama, pemimpin Pas seharusnya mempunyai integriti dan tidak boleh bertukar ‘fatwa’ sesuka hati.

Ahmad Zahid berkata, jika pemberian wang itu dilakukan oleh pihak lawan, Pas pasti mengatakan itu rasuah. Namun apabila terkena pada batang hidung sendiri, Pas berdalih mengatakan itu adalah derma.

Baca juga: Dua pemimpin Pas teruk dikecam, gelar ikan kembung ‘ikan cap ayam’