Dadah, pornografi punca sumbang mahram tinggi di Kelantan
Kadar perlakuan sumbang mahram yang tinggi di Kelantan adalah disebabkan oleh para pelakunya yang terjebak dengan dadah dan terdedah dengan kandungan pornografi tidak terkawal.
Laporan media menunjukkan 197 telah ditahan polis sepanjang tahun lalu kerana pembabitan mereka dalam kes rogol, sumbang mahram dan penyalahgunaan dadah kata Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kelantan, Profesor Madya Dr Dasmawati Mohamad.
“Itu laporan yang dikeluarkan pada 20 Mac 2022 lalu. Melihat kepada laporan itu, kita perlu gusar dan gerun dengan situasi ini,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini.
Menurut Dr Dasmawati, Wanita Ikram negeri terpanggil menganjurkan seminar ‘Haruan Makan Anak’ untuk memberi kesedaran dan mendidik masyarakat terutamanya ibu bapa dalam mencegah berlakunya insiden sumbang mahram di rumah sendiri.
Pada Mac 2022 polis Kelantan telah menahan 197 remaja di mana 97 daripada mereka ditahan atas kes rampasan dan penyalahgunaan pelbagai jenis dadah termasuk pil yaba dan syabu.
Seramai 100 remaja lagi ditahan kerana terbabit dalam kes rogol serta sumbang mahram, yang meningkat sebanyak 19 peratus atau 16 orang berbanding 84 yang ditahan bagi kesalahan sama pada 2020.
Sementara itu Dr Dasmawati menambah, semua pihak termasuk ibu bapa dan guru perlu memainkan peranan untuk menangani isu ini.
Sebagai ibu bapa katanya, tugas mereka adalah mendidik anak-anak tentang aurat, sentuhan selamat dan adab pergaulan.
“Ibu bapa perlu melatih anak-anak supaya berkongsi maklumat dan tidak berahsia. Mereka perlu sentiasa ambil peduli setiap aduan mereka. Jadikan al-Quran sebagai sumber rujukan di dalam pendidikan anak-anak dan perhubungan suami isteri,” katanya.
Beliau turut menegaskan peri pentingnya institusi kekeluargaan diperkukuhkan melalui hubungan keluarga yang sihat dan rumah yang selamat untuk pembinaan keluarga.
Selain itu beliau turut menekankan keterlibatan dan kesedaran masyarakat terhadap penderaan seksual kanak-kanak perlu ada.
“Buat aduan dan laporan kepada pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), pihak polis dan hospital, menggunakan talian kasih 15999 sekiranya anda mengetahui penderaan seksual kanak-kanak berlaku dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya.
Baca juga: Isu beri pengundi duit, Pas anggap ‘budaya derma’ dah jadi darah daging