Di mana surat-surat Anwar kepada Syeikh Mustafa Masyhur sekarang?

Sekitar tahun 1982, diceritakan bahawa sekumpulan aktivis mahasiswa Malaysia di United Kingdom (UK) ‘naik angin’ apabila mengetahui Datuk Seri Anwar Ibrahim menyertai Umno pada tahun itu.

Cerita ini diperoleh dari seorang imam masjid dari Malaysia yang sudah lama bermaustatin di UK, yang kemudian diceritakan kembali oleh seorang pengguna Facebook, Mohamed Hadi AH.

Difahamkan, sekumpulan anak muda ini telah berjumpa dengan Mursyidul Am (pemimpin tertinggi) Ikhwanul Muslimin, Syeikh Mustafa Masyhur.

Dalam pertemuan itu mereka menyatakan rasa tidak puas hati kerana Anwar menyertai Umno.

Tetapi apa yang mengejutkan, rupanya Syeikh Mustafa mengetahui hal tersebut dan dengan tenang mengeluarkan sebuah fail yang terisi beberapa lembar surat.

Surat itu rupa-rupanya adalah surat yang ditulis oleh Anwar kepada Syeikh Mustafa. Keberadaan surat-surat  tersebut tidak diketahui sekarang.

“Selesai sesi luahan, beliau mengeluarkan satu fail yang terkandung di dalamnya beberapa helai surat. Rupa-rupanya surat ini ialah surat yang ditulis oleh Anwar kepada Syeikh Mustafa.

“Barulah mereka tahu yang sejak Anwar menyertai Umno, Anwar mengutus surat secara berkala kepada Syeikh Mustafa dan memaklumkan apa yang telah dilakukannya ketika berada di dalam Umno dan kerajaan.

“Surat yang ditulis oleh Anwar dalam bahasa Inggeris itu dibacakan semula dalam pertemuan tersebut.

“Selesai sesi pembacaan surat itu, Syeikh Mustafa pun memaklumkan kepada anak-anak muda ini, lebih kurang maksudnya berbunyi “Kamu buatlah kerja kamu, biar Anwar buat kerja dia”,’ kongsi Hadi.

Dengan restu dari pemimpin Ikhwan itu katanya, penentangan anak-anak muda terhadap Anwar Ibrahim terpadam begitu sahaja.

“Apa yang menarik mengenai pengkisahan tersebut ialah kalau Syeikh Mustafa ini begitu cermat menguruskan dokumen-dokumen termasuklah surat yang dihantar oleh Anwar Ibrahim kepadanya, sudah tentulah surat Anwar itu besar kemungkinan masih ada dalam simpanan keluarga Syeikh Mustafa Masyhur.

“Di manakah agaknya surat-surat penggerak zaman itu sekarang?,”

Â