Dr Abd Rani Osman dalam perspektif Hannah Yeoh

Oleh HANNAH YEOH

Dr Abd Rani Osman – Inilah insan istimewa berhati mulia

Saya menerima berita yang amat mendukacitakan pada pagi hari kedua sambutan Tahun Baharu Cina selepas mengetahui sahabat baik saya telah meninggal dunia.

Dalam keadaan yang masih terkejut, saya terus menghubungi isteri arwah dan beliau mengesahkan berita tersebut. Saya kemudiannya bergegas ke Meru untuk menziarahi Allahyarham dan memberikan penghormatan terakhir buatnya.

Hannah berada di luar masjid Asysharif, Meru ketika menunggu ketibaan jenazah Dr Rani sebelum disolatkan buat kali terakhir.

Di dalam masjid pula, kedengaran doa yang dibacakan bercampur-baur dengan tangisan dan berakhir dengan kata-kata ini – “ini hamba Allah yang baik”. Saya menjadi saksi bahawa Dr Rani adalah seorang insan yang baik.

Benar, masakan tidak, setiap kali saya diserang kerana kepercayaan agama saya, beliaulah yang akan meyakinkan saya untuk tidak berasa bimbang. Apabila anak perempuan saya dilahirkan dan diadakan majlis ringkas di gereja, Dr Rani turut menghadirinya.

Semasa isu serbuan DUMC berlaku, beliaulah mengetuai delegasi ahli politik Islam untuk berdialog dengan pihak gereja. Beliau memperlihatkan kepada saya bagaimana kita boleh menjalani kehidupan bersama dengan orang yang berlainan agama.

Apabila Pakatan Rakyat berpecah, Dr Rani terus kekal dalam PAS. Keputusan terbaik yang dicapai oleh PAS Selangor dalam pilihan raya umum adalah semasa Dr Rani mengetuainya, iaitu ketika beliau menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor.

Kami terus kekal berhubung. Malah, saya sempat berjumpa beliau dan makan bersama di Meru tahun lepas. Saya berasa lega kerana tidak menangguhkan hasrat tersebut. Apabila papan iklan kempen saya dirosakkan baru-baru ini, saya mendapat mesej daripada Dr Rani yang bertanyakan keadaan saya.

Hannah berpelukan dengan isteri Dr Rani di hari kematian sahabat baik beliau.

Hari ini, isterinya memberitahu saya yang beliau baru saja melihat saya di TV sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Saya benar-benar bersyukur kerana dapat hadir di hari pengebumiannya hari ini. Air mata saya tidak tertahan lagi semasa berada di sini. Beliau tentunya akan sangat dirindui.

Kami mungkin seteru dalam politik, namun Dr Rani adalah satu-satunya malah seorang sahabat yang paling dikasihi. Begitulah bagaimana saya akan mengenangnya.

Semasa hayat Tuan, ketika mempunyai jawatan ataupun tanpa sebarang jawatan, Tuan telah memberikan khidmat bakti terbaik buat rakyat Meru.

Segala-galanya dalam diri saya bersetuju dengan doa terakhir buat insan ini – “ini hamba Allah yang baik”. Ya dan amin.

Dr Rani, saya begitu sayangkan Tuan dan terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup saya.

—-

Ini adalah catatan Menteri Belia dan Sukan di hari kematian Dr Rani Osman.