Malaysia Madani diterjemah melalui gerak kerja yang mendalam demi rakyat

Konsep Malaysia Madani diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar slogan tetapi ia mampu menyelesaikan masalah semua rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil.

Dalam wawancara bersama Bernama Fahmi berkata, konsep Madani perlu diterjemahkan oleh menteri melalui gerak kerja yang lebih mendalam untuk membantu rakyat Malaysia.

“Secara spesifikasi setiap menteri perlu menterjemahkan aspirasi dan keperluan rakyat supaya konsep Madani dapat diangkat oleh rakyat Malaysia.

“Peranan dalam Kementerian Komunikasi Digital kita tidak melihat capaian KPI sebagai penanda aras yang utama. Contohnya, capaian internet 4G di seluruh negara ialah 97 peratus. Tetapi pada hakikatnya rakyat masih lagi terbeban untuk mendapatkan kemudahan jaringan,” ujar beliau

Fahmi juga menegaskan, amalan rasuah adalah indikator utama yang perlu diperangi dalam kerangka Madani.

“Satu perkara yang sangat releven untuk kita lakukan ialah peri pentingnya kita mengurangkan budaya rasuah

Budaya rasuah merosakkan jiwa negara kita dan perkara ini (rasuah) perlu diperangi sepanjang zaman,” tegas beliau.

Beliau juga menyatakan masalah internet dan komunikasi perlu ditanggani segera bagi membantu mengurangkan beban rakyat terutamanya masyarakat luar bandar

“Kebiasaannya pada waktu perayaan kita menghadapi masalah telco untuk mendapat jaringan

“Contohnya capaian telco A tidak boleh mendapat jaringan internet kerana berada di kawasan capaian B

“Isu ini boleh diselesaikan cuma memerlukan penekanan daripada menteri untuk menangani masalah ini,” ujar beliau.

Contoh ini ialah antara permasalahan yang dihadapi oleh syarikat telekomunikasi. Kerajaan terdahulu telah mewujudkan Digital Nasional Berhad sebagai syarikat bertujuan khas untuk meningkatkan capaian jaringan ke seluruh negara dengan membabitkan kesemua pemain industri.

Walau bagaimanapun usaha ini belum mencapai objektifnya.

Anwar pada Khamis lalu memperkenalkan ‘Malaysia Madani’ sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Madani itu diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

 

BACA JUGA: Malaysia Madani; 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025