PH perlu kuasai TikTok
Ketua AMK Selangor, Izuan Kasim menegaskan Pakatan Harapan (PH) perlu membina naratif nasional dalam media sosial terutamanya laman video ringkas, Tiktok. Hal ini berikutan, peranan Tiktok berjaya memberi tafsiran yang mudah dah cepat untuk difahami berbanding platform media sosial yang lain.
“Kita perlu faham platform sosial media banyak boleh didapati antaranya Facebook, Twitter dan Tiktok. Seperti yang kita maklum, fungsi media sosial Facebook lebih terarah kepada penjelasan berbentuk cerita dan pengguna perlukan interaksi dengan penulisan yang panjang,” ujarnya ketika dihubungi oleh Harapan Daily.
“Tetapi lain pula Twitter yang lebih bercirikan pada ciapan ringkas dan padat serta mudah untuk difahami oleh pengguna berbanding Facebook. Kedua-dua platform ini memerlukan kebolehan pengguna untuk menafsir.
“Namun, berlainan pula dengan Tiktok dimana penyampaian hanya dalam bentuk videografik dan kita yang mencorakkan naratif apa yang hendak disampaikan kepada pengguna. Penyampaian dalam Tiktok lebih mudah kerana pengguna hanya perlukan 15 saat hingga 30 saat dah cukup untuk mempengaruhi naratif yang hendak disampaikan,” tambah beliau.
Izuan juga turut menyatakan bahawa PH perlu belajar daripada kesilapan lalu kerana ‘gagal’ menguasai sosial media dalam kempen Pilihan Raya Umum 15 (PRU15).
Beliau juga menekankan kelainan strategi perlu diambil segera bagi menarik semula sokongan pengundi atas pagar.
“Kelemahan PH ialah kita gagal untuk menguasai media sosial seperti mana kita menguasai pada PRU14 dan PRU13. Saya kira untuk mengekalkan momentum, kerajaan perlu melakukan pendekatan dan strategi yang lebih kreatif untuk menarik semula pengundi atas pagar,” ujar beliau.
Untuk rekod, penguasaan Perikatan Nasional (PN) dalam media sosial terutamanya Tiktok telah berjaya mewujudkan gelombang hijau sehingga PN berjaya memperoleh majoriti besar di negeri-negeri Melayu iaitu Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.
BACA JUGA: Pihak lawan kuasai TikTok untuk sebar kebencian, tuduhan tanpa bukti