Sany Hamzan bantu ibu tunggal anak sembilan mangsa rumah terbakar

Prihatin dengan nasib yang menimpa seorang ibu tunggal anak sembilan akibat rumah terbakar pada 20 Januari lalu, Ahli Parlimen Hulu Langat tampil menghulurkan bantuan tambahan kepada keluarga tersebut.

Mohd Sany Hamzan turun padang menziarahi keluarga tersebut di tapak rumah mereka yang terbakar itu di Kampung Madrasah Nurul Iman, Sungai Long, Batu 11, Hulu Langat hari ini.

“Semoga keluarga mangsa kebakaran ini tabah dalam menghadapi ujian ini,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sani berkata sebelum ini beliau ada menghantar wakil untuk menziarah dan menyerahkan sumbangan bantuan segera kepada mangsa kebakaran tersebut.

Muhammad Ibrahim menyampaikan bantuan awal LZS kepada Suzana sekeluarga selepas rumahnya di Kampung Madrasak Nurul Iman, Juala Kuari, Sungai Long, Batu 11, Hulu Langat musnah dijilat api, 20 Januari lalu.

Terdahulu Lembaga Zakat Selangor (LZS) tampil menghulurkan bantuan awal kepada ibu tunggal tersebut, Suzana Ab Sattar, 45, bersama sembilan anak yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi dan bersekolah kerana rumah mereka terbakar ketika tidur pada Jumaat lalu.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Operasi Agihan LZS Daerah Hulu Langat, Muhammad Ibrahim Selamat.

“Dengan hanya pendapatan sebagai kerani yang kais pagi makan pagi tidak cukup untuk menanggung kesemua sembilan anak yang masih belajar, beban ibu itu kini diuji pula dengan kehilangan tempat mereka berteduh.

“Mujurlah masih ada ahli keluarga iaitu adiknya yang masih prihatin untuk menumpangkan anak beranak ini dirumahnya buat sementara waktu,” kata LZS.

“Insya-Allah, hasil daripada siasatan langsung, Zakat Selangor akan salurkan beberapa bantuan seperti kewangan bulanan tunai, bantuan pendidikan anak dan kini dalam proses meluluskan bantuan makanan bulanan dan sewa rumah bulanan.”

Baca juga Ular sawa – mimpi ngeri penghuni PPR Lembah Subang 1