Akses buku bagi orang buta untuk atasi kebuluran buku
Dalam pada kita melaungkan slogan mahu memberikan peluang sama rata kepada semua golongan, kita mungkin terlupa tentang kebuluran buku (book famine) yang turut berlaku di negara ini.
Masalah ini merupakan fenomena antarabangsa di mana menurut kenyataan Pertubuhan Harta Intelek Dunia (WIPO) dalam risalah The Marrakesh Treaty: Helping to End the Global Book Famine (2016), sekitar 285 juta penduduk dunia mengalami masalah kecacatan penglihatan (buta atau masalah berkaitan).
Lebih menyedihkan kerana 90 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan berpendapatan rendah di negara membangun atau mundur.
Hakikat yang lebih memilukan ialah hanya sekitar 1–7 peratus bahan bacaan di seluruh dunia diterbitkan dalam format yang boleh diakses golongan berkenaan, sama ada dalam versi digital atau Braille.
Bahan yang dimaksudkan ialah buku, jurnal, majalah dan sebarang bahan bacaan bercetak yang mampu dibaca dan dinikmati oleh individu yang tidak mengalami sebarang bentuk kecacatan penglihatan.
Sebaik diasaskan pada tahun 1999, salah satu aktiviti pertama Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) ialah acara “For Your Ears Only!” di mana sekumpulan wakil Kavyan membacakan petikan karya sastera untuk didengar dan dinikmati pelajar OKU penglihatan di Kompleks MAB, Brickfields.
Cerpen bertajuk “Dengarlah Sayang” (Pelita Bahasa, Disember 2005) saya tulis khusus untuk mengungkapkan isu kebuluran buku serta impian seorang individu cacat penglihatan untuk terlibat sama dalam bidang penulisan.
Pada tahun 2017, beberapa rakan membantu saya menampung kos membuat rakaman audio lapan buah cerpen secara profesional di studio.
Cerpen-cerpen itu diedarkan secara percuma khusus kepada individu yang mengalami masalah penglihatan, sebelum turut diedarkan kepada orang ramai yang mahu mendengar audio bacaan cerpen.
Saya kenal beberapa rakan yang secara sukarela membuat rakaman audio keratan akhbar dan buku supaya boleh dinikmati rakan-rakan cacat penglihatan.
Sebenarnya, Malaysia sudah menandatangani Perjanjian Marrakesh pada 31 Mac 2022 dan pelaksanaan perjanjian itu di negara kita berkuat kuasa 30 Jun 2022.
Gambar menunjukkan wakil tetap Malaysia ke PBB, Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad menyerahkan dokumen Perjanjian Marrakesh kepada ketua pengarah WIPO, Darren Tang di Geneva pada 31 Mac 2022.
Perjanjian berkenaan yang ditadbir oleh WIPO diperkenalkan di Maghribi pada 27 Jun 2013 atas kesedaran tentang keperluan menyediakan kemudahan akses bahan bacaan kepada orang kurang upaya (OKU) dalam kategori buta atau mengalami sebarang masalah penglihatan (blind, visually impaired or otherwise print disabled).
Menjelang 30 September 2016, sejumlah 20 buah negara termasuk India, Mali, Uruguay, Singapura, Argentina, Australia, Brazil, Israel dan Kanada sudah menandatangani perjanjian itu.
Menurut kenyataan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada 31 Mac 2022, Perjanjian Marrakesh “memberi pengecualian daripada mendapatkan kebenaran pemunya hak cipta untuk membuat dan mengedarkan bahan bacaan dalam format boleh akses (accessible format copy) bagi golongan OKU penglihatan”.
Saya secara peribadi amat berharap perjanjian yang ditandatangani benar-benar dilaksanakan oleh Kerajaan Perpaduan yang kini diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim; bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.
Terdapat sekurang-kurangnya 51,323 individu OKU penglihatan dalam senarai Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) yang berhak mendapat akses kepada bahan bacaan dalam pelbagai bahasa.
Pada 22 Januari 2022 – dua bulan sebelum wakil Malaysia mendepositkan instrumen penyertaan Perjanjian Marrakesh di ibu pejabat WIPO di Geneva – seorang individu OKU penglihatan mengemukakan pertanyaan kepada saya menerusi Twitter mengenai situasi kebuluran buku di Malaysia.
“Kebuluran buku bagi OKU penglihatan di Malaysia akan berterusan selagi penulis dan penerbit tempatan terus bersikap jahil dan mendiskriminasi kami,” kata Kaveinthran Pulanthran bagi meluahkan kekecewaan yang dialami.
Sebenarnya, pada 29 September 2018, Kavyan turut membawa Kaveinthran (mahasiswa Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya waktu itu) ke pertemuan dengan pengerusi lembaga pengelola dan timbalan ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Antara topik yang diketengahkan oleh Kavyan dalam pertemuan itu adalah perihal akses bahan bacaan bagi golongan cacat penglihatan, serta mencadangkan DBP memberikan akses percuma majalah digital terbitannya kepada golongan berkenaan.
Seorang lagi individu dengan masalah penglihatan yang sentiasa berminat mahu membaca dan “mendengar” buku-buku saya ialah Dennis Teo Wei Xiang dari Puchong, Selangor.
Beliau yang kini sedang dalam proses menamatkan pengajian sarjana di Universiti Malaya memang gembira dengan berita penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Marrakesh.
“Walau bagaimanapun, sehingga kini, bukan semua bahan digital boleh diakses secara bebas oleh pengguna berkeperluan khas seperti kami,” katanya sewaktu kami berbual-bual, baru-baru ini.
Rakan saya di Universiti Malaya pada tahun 1990-an, Sumitha Ramasamy, juga cacat penglihatan dan banyak “membimbing” saya memahami dunia golongan berkenaan.
Melalui beliau, saya tahu mengenai pusat sumber milik Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) di Brickfields yang menempatkan bahan bacaan dalam tulisan Braille serta rakaman buku dalam bentuk audio hasil kerjasama sukarelawan.
Salah satu perisian yang digunakan golongan OKU penglihatan untuk “membaca dan mendengar” teks pada skrin komputer ialah Job Access With Speech (JAWS) yang diperkenalkan pada tahun 1995.
Malangnya, perisian pembaca skrin (screen reader) itu adalah berbayar dan tentu sahaja tidak mampu dimiliki golongan miskin dan kurang berkemampuan, khasnya di Malaysia.
Dennis Teo pula memberitahu saya tentang perisian NonVisual Desktop Access (NVDA) yang boleh dimuat turun (download) secara percuma.
NVDA dibangunkan oleh dua individu cacat penglihatan bernama Michael Curran dan James Teh di Australia pada tahun 2006.
Kini, perisian itu terdapat dalam 62 bahasa (termasuk Bahasa Indonesia tetapi “bahasa Melayu” tiada dalam senarai) dan sudah dimanfaatkan golongan cacat penglihatan di lebih 175 buah negara.
Berbalik kepada Perjanjian Marrakesh yang turut ditandatangani Malaysia, sebarang bahan bacaan boleh diubah kepada format boleh akses demi manfaat golongan OKU penglihatan.
“Bahan bacaan” yang dimaksudkan di bawah perjanjian itu termasuk (tetapi tidak terhad kepada) buku audio, teks, notasi dan ilustrasi.
“Format boleh akses” merujuk kepada apa-apa format, termasuk versi digital, yang membolehkan golongan OKU penglihatan mengakses bahan itu dengan mudah dan selesa sebagaimana orang biasa.
Bahan berkenaan boleh dikongsi dan disebarkan demi kegunaan golongan OKU penglihatan di seluruh dunia tanpa sebarang sekatan.
Sebenarnya, Malaysia sudah ada “Garis Panduan Hak Cipta (Entiti Yang Diberi Kuasa)” berkuat kuasa 30 Jun 2022 di mana ia memperincikan segala hal berkaitan proses menghasilkan salinan bahan khusus bagi golongan cacat penglihatan.
Selepas meneliti garis panduan itu, apa yang saya bimbang adalah kemungkinan ada pihak cuba mengaut “untung atas angin” dengan memanipulasi klausa “pengecualian hak cipta dan bayaran royalti” seperti termaktub dalam Perjanjian Marrakesh.
———-
Uthaya Sankar SB seorang penulis, pengkaji sepenuh masa dan pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) yang gemar berkongsi ilmu dengan pembaca