Bakar al-Quran: Ulama sambut baik sikap tegas Anwar, redakan Islamofobia

Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyambut baik ketegasan yang ditunjukkan oleh Malaysia terhadap perbuatan biadap seorang ahli politik Denmark-Sweden membakar naskhah al-Quran di Sweden pada Sabtu lalu.

Setiausaha Agungnya Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Noor berkata kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai perbuatan itu memerlukan tindakan lanjut daripada pelbagai pihak.

“PUM turut mengucapkan syabas di atas ketegasan Malaysia yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu Islamofobia ini.

“Ia adalah pendirian konsisten pemimpin Malaysia sejak sekian lama yang ditunjukkan pemimpin terdahulu dan dipertegaskan lagi oleh PM ke-10,” ujarnya dalam kenyataan.

MOHD ROSLAN MOHD NOOR

Mohd Roslan berkata satu pasukan bertindak khas mesti diwujudkan segera dinaungi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi melakar agenda bertindak mengendurkan Islamofobia.

Tegas beliau seluruh rakyat negara ini perlu bangkit menangani isu Islamofobia dan sebarang kebencian agama yang muncul daripada tindakan ini.

“Hormat menghormati serta santun di antara satu sama lain adalah sifat yang sangat ditekankan dalam Islam dan ditunjukkan sebagai contoh terbaik oleh Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau berkata tindakan ini bukanlah kali pertama malah pernah berlaku sebelum ini oleh golongan yang fobia terhadap Islam.

“Tindakan ini memang sangat biadap terhadap penganut agama dan menimbulkan rasa kebencian yang tidak berkesudahan.

“Perbuatan membakar al-Quran ini perlu dikutuk, ia menunjukkan Islamofobia masih menebal dalam dunia hari ini,” katanya.

Terdahulu PUM bersama 36 pertubuhan ulama dalam Kesatuan Ulama Sedunia mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk insiden pembakaran naskhah al-Quran tersebut.

Isnin lepas Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Islamofobia ahli politik sayap kanan Sweden, Rasmus Paludan yang membakar al-Quran di Stockhlom pada Sabtu.

Perdana Menteri berkata kerajaan Sweden perlu mengambil tindakan tegas terhadap pelaku dan memastikan langkah drastik diambil pada masa depan dalam menangani peningkatan membimbangkan Islamofobia di negara berkenaan.

Katanya, tindakan mencemar kitab suci umat Islam secara terang-terangan oleh ahli politik Sweden terbabit dan tiada sebarang tindakan diambil, ibarat bersetuju membiarkan Islamofobia.

Perdana Menteri Sweden, Ulf Kristersson mengutuk tindakan pihak yang membakar senaskah al-Quran di Stockholm dan menyifatkan perbuatan itu `tidak menghormati’ sehingga menimbulkan ketegangan dengan Turkiye.

Ia berlaku ketika Ankara menyekat usaha negara Nordik itu untuk menyertai pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Dalam pada itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata kenyataan tegas Perdana Menteri yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ahli politik Sweden itu membuktikan kesungguhan Malaysia dalam menentang sebarang bentuk keganasan dan kebencian khususnya Islamofobia.

Datuk Dr Mohd Na’im Mohktar berkata tindakan biadab Paludan itu perlu dibantah kerana telah menyalahgunakan prinsip kebebasan bersuara dengan menceroboh al-Quran yang menjadi kitab suci agama Islam.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menggesa pemerintah Sweden agar mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan provokatif tersebut yang bertujuan untuk mewujudkan ketidaktenteraman masyarakat dunia.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga menyeru seluruh masyarakat menghormati kemuliaan agama Islam, membudayakan dialog dan menyemarakkan nilai-nilai kehormatan sejagat bagi mewujudkan keharmonian hidup masyarakat dunia hari ini,” katanya.

BACA JUGA: Malaysia kutuk aksi bakar al Quran ahli politik Sweden