Henti perbuatan terdesak selindung rasuah atas nama sedekah

Bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan, pemberian wang ketika pilihan raya yang cuba diselindungkan sebagai sedekah adalah perbuatan yang sangat menyedihkan.

Baginya, perbuatan itu telah mencemarkan kemuliaan amalan bersedekah itu sendiri di mana menurut syariat, sedekah tidak seharusnya dihebahkan.

“Kenyataan ini sangat menyedihkan malah ia telah mencemarkan kemuliaan dan nama baik perbuatan bersedekah

“Apabila kita memberi syarat-syarat tertentu, maka pastinya pemberian yang dikatakan ‘sedekah’ itu sebenarnya tidak ada kaitan dengan sedekah yang dituntut syariat,” katanya dalam satu perkongsian video di TikTok miliknya.

Naib Presiden AMANAH Nasional itu berkata, sedekah adalah amalan mulia di mana dalam hadis Nabi disebut bahawa tujuh golongan yang akan memperoleh perlindungan Allah adalah mereka yang bersedekah dengan tangan kanannya tanpa diketahui tangan kirinya.

Tambahnya, telah digambarkan dengan jelas bahawa perbuatan mengeluarkan atau memberi sedekah itu akan menjadi sia-sia jika ia diungkit-ungkit.

Justeru, beliau menyeru agar pihak tertentu berhenti dari mencari dalil untuk membenarkan tingkah laku mereka sehingga mencemarkan maksud sedekah yang sebenar.

“Saya seru berhentilah dari terdesak mencari dalil sehingga tanpa disedari telah mencemarkan kemuliaan amalan dalam Islam iaitu bersedekah,” ujarnya lagi..

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan bahawa rasuah adalah rasuah, tidak kira bagaimana seseorang itu memilih untuk menggambarkannya kerana undang-undang jelas mentakrifkan apa yang dimaksudkan dengan pembelian undi

Azam menegaskan bahawa Seksyen 10 (a) mentakrifkan secara terperinci perbuatan rasuah sebelum, semasa dan selepas pilihan raya yang dilakukan secara langsung atau tidak langsung oleh calon sendiri atau oleh wakil bagi pihaknya.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini mempertahankan pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan mendakwa ia adalah sedekah.

Beliau berkata, mengikut undang-undang pilihan raya, calon dan wakil-wakil calon tidak boleh memberikan wang, tetapi jika orang awam mahu bersedekah, ia terpulang kepada individu itu.

Baca juga: Malaysia Madani diterjemah melalui gerak kerja yang mendalam demi rakyat

Â