Kadar inflasi Disember turun kepada 3.8 peratus – Rafizi

Indeks Harga Pengguna (IHP) yang mengukur kadar inflasi di Malaysia mereda kepada 3.8 peratus pada Disember 2022 berbanding 4.0 peratus pada November 2022.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dalam sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Bagi perbandingan bulan ke bulan pula, inflasi bagi Disember 2022 mencatatkan peningkatan 0.2 peratus di mana ianya lebih rendah berbanding 0.3 peratus pada November 2022.

“Maknanya inflasi atau kadar kenaikan harga semakin mereda. Ia nampak memuncak sekitar Ogos dan September tapi kemudian graf tunjuk kadar yang makin menurun.

“Itu satu petanda baik kerana kita harap akan beransur ke arah inflasi lebih normal seperti sebelumnya iaitu sekitar 2 peratus lebih,” katanya.

Pada tahun lalu juga, kementerian mendapati semua komponen utama IHP menyederhana kecuali komponen restoran dan hotel, perumahan, air, elektrik, gas serta bahan api lain.

Sementara itu, Rafizi memaklumkan, bagi keseluruhan tahun lalu, inflasi Malaysia ialah 3.3 peratus seperti diunjurkan Kementerian Kewangan dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2023.

Dari segi pola kenaikan harga yang diukur dari IHP, kadar inflasi pada Julai 2022 ialah 4.4 peratus sebelum meningkat kepada 4.7 peratus pada Ogos dan 4.5 peratus pada September.

Bagi Oktober tahun sama, kadar inflasi mencatat 4 peratus dan kadar itu kekal untuk November.

Pada Disember lalu, inflasi mula mereda kepada 3.8 peratus.