‘Kutip’ masuk lokap pemfitnah Malaysia Madani

Tidak salah mengkritik dasar Kerajaan Perpaduan yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim. Berbeza pendapat dengan memberi syor membina juga dirai dalam menjayakan hasrat Malaysia Madani.

Namun, meniupkan sentimen kebencian dan menghina gagasan yang membentuk hala tuju negara dengan memfitnah sosok Perdana Menteri tidak harus dibiarkan.

Kalau sebelum ini, pemfitnah Najib Razak dan Mahiaddin Yassin semasa mereka menjadi orang nombor satu di Putrajaya dilihat cepat diheret ke lokap, hal sama juga patut dilakukan pada masa ini.

Laporan polis terhadap individu yang mereka-reka akronim Madani dengan motif menghina Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) konon mahu menyindir dilihat sedang dibuat.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pastinya akan segera menyiasat individu terbabit. Walau atas alasan perli atau sarkastik sekalipun, elemen fitnah tidak wajar dikompromi.

Gagasan Malaysia Madani perlu bertegas dengan pemfitnah.

Walaupun permohonan maaf telah diucap pemuda tersebut tetapi kerosakan yang tersebar daripada akronim jahat dibuatnya telah tersebar.

Justeru, segera lokapkan saja individu mereka yang selamba memfitnah berserta kata-kata kesat dan menghina pentadbiran Kerajaan Perpaduan pada masa ini.

Tindakan segera dan tegas dari Bukit Aman itu penting sebagai pengajaran sebelum api fitnah marak bernyala.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah cukup menjadi bukti betapa hodohnya politik yang meniupkan sentimen kebencian di platform TikTok.

Naratif masyarakat madani yang antara lain berhasrat untuk mengangkasa nilai manusiawi tidak harus berlapang dada membiarkan ia ditelan dengan gejala fitnah.

Pelaksanaan bagi mencapai cita sempurna menerusi Malaysia Madani menuntut setiap pemimpin dan anggota masyarakat untuk bertanggungjawab dengan apa yang diucap dan ditulis.

Tekad negara madani untuk mengangkat martabat dan maruah diri, keluarga, masyarakat serta Malaysia tercinta perlu didukung semua pihak hatta pembangkang sekali pun.

Sebaliknya, kata nista menebar jala fitnah dengan menyasarkan serangan terhadap gagasan madani hanya akan mengganggu tumpuan negara untuk mencapai hasrat rakyat sejahtera yang melawan kebejatan rasuah, penyelewengan dan ketidaksamarataan.

Baca juga Pemuda PN mohon maaf hina PM Anwar