PM menghadap Sultan Brunei bincang hubungan dua hala
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini diraikan dalam Majlis Santapan Rasmi oleh Sultan Brunei Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman sempena lawatan 2 hari beliau ke negara itu.
Dalam ucapan di majlis tersebut Anwar menyatakan penghargaan pihaknya mewakili delegasi Malaysia terhadap hubungan baik kedua dua buah negara yang berjalan sejak lama serta kerjasama ekonomi yang menguntungkan.
“Saya zahirkan penghargaan kerana lawatan pada kali ini membuahkan hasil yang pastinya membawa manfaat bersama kepada kedua-dua buah negara.
“Saya juga bangkitkan mengenai Rundingan Pemimpin Tahunan (Annual Leaders’ Consultation – ALC) yang menjadi wadah utama bagi kedua-dua pemimpin negara membincangkan isu-isu berkepentingan bersama.
“InsyaAllah, tahun ini Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi ALC ke-24 dan saya mengalu-alukan keberangkatan Paduka Seri Baginda dan delegasi ke Malaysia bagi meneruskan tradisi musyawarah antara pemimpin kedua-dua buah negara,” katanya dalam catatan di Facebook.
Dalam ucapan itu juga Anwar menzahirkan ucapan tahniah ke atas Sultan dan Kerajaan Negara Brunei Darussalam serta seluruh rakyat di atas Sambutan Ulangtahun Kemerdekaan kali ke-39 tidak lama lagi.