Selangor sasar 14.8 juta ekor ayam menjelang 2025

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) hari ini menjalinkan kerjasama dengan konglomerat makanan terkemuka dunia, Charoen Pokphand Group (CP) bagi meningkatkan pengeluaran ayam kepada 14.8 juta ekor menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS, Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, usahasama itu adalah sebahagian daripada Program Intervensi Harga Makanan Ehsan (PIHE) bertujuan memastikan bekalan ayam dan telur mencukupi serta dijual pada harga berpatutan kepada rakyat di Selangor.

Beliau berkata, pihaknya memberi komitmen untuk terlibat secara terus dalam keseluruhan rantaian bekalan ayam dan telur.

Katanya, ia bermula daripada penghasilan makanan ayam (chicken feed), ladang ayam ‘breeder’, ladang penetasan (hatchery), ladang ayam pedaging (broiler) dan ladang pengeluaran telur (layer).

“PKPS ketika ini mengoperasikan ladang ayam pedaging di Kuala Selangor dan Sabak Bernam dengan kapasiti pengeluaran sebanyak tiga juta ekor setahun.

“Menerusi jalinan ini, PKPS akan mengenal pasti lokasi bersesuaian dan melengkapkan prosedur pembangunan infrastruktur berkaitan manakala CP sebagai rakan strategik sejak 2010 akan membawa kepakaran teknikal.

“Pengalaman dan kekuatan CP sebagai salah satu pengeluar makanan terbesar dunia dengan operasi dan pelaburan di lebih 40 negara akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pengurusan PKPS dalam melaksanakan PIHE,” maklum PKPS menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Dr Mohamad lagi, kerangka usahasama itu adalah mengikut mandat serta inisiatif daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim.

“Selangor beriltizam untuk menjadi sebuah negeri mampan diri, atau self sustainable daripada segi bekalan makanan dan tidak bergantung sepenuhnya kepada import.

“Justeru, PKPS sebagai salah sebuah agensi yang dipertanggungjawabkan dalam hal sekuriti makanan negeri merencana projek berimpak tinggi bagi memastikan bekalan makanan asas rakyat Selangor terus mampan untuk tempoh mendatang,” ujarnya lagi.

Baca juga Sany Hamzan bantu ibu tunggal anak sembilan mangsa rumah terbakar